Santuni Masyarakat Dalam Iftar, Siti Aminah Hargai Penglibatan GLC Dan NGO
KUALA PENYU, 4 April – Lebih 100 orang komuniti di Kampung Mansud dan sekitarnya diraikan dalam program iftar bersama Majlis Getah Malaysia (MRC) Perkis bertempat di Masjid Nur Iman, dekat sini, kelmarin.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching menghargai penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil langkah untuk menyantuni masyarakat setempat.
“Program ini dapat melakar senyuman manis pada wajah penduduk kampung yang bukan sahaja terdiri dari masyarakat Islam tapi turut disertai dari rakan-rakan yang berlainan agama dan bangsa,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan bahawa program seperti ini merupakan salah satu medium terbaik untuk menyatupadukan masyarakat selari dengan gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan.
“Kita perlu kekalkan budaya ini bukan sahaja berkongsi kemeriahan dalam perayaan-perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya namun penyertaan kaum lain dalam acara seperti majlis berbuka puasa juga boleh dijadikan platfrom memperkukuhkan perpaduan,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RISDA Semaian dan Landskap Sdn Bhd.
Majlis tersebut turuf dihadiri oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah MRC, Jaafar Abdul Wahid; Penolong Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Badan Dakwah Daerah Kuala Penyu, Joumat Bisnim dan Pengerusi Masjid Nur Iman, Alipin Ayudin.
Jaafar yang juga Ketua Penerangan Belia Usia Sabah berkata majlis tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan oleh MRC dan buat julung kalinya dianjurkan di Sabah dan diadakan di kawasan Parlimen Beauforf.
Beliau berkata, program berkenaan adalah kesinambungan program yang pernah dianjurkan oleh MRC pada bulan Ramadan tahun tahun lepas dan kali ini dilebarkan pelaksanaannya ke Sabah.
“Pelbagai inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan untuk membantu mereka yang memerlukan terutama menjelang Aidilfitri. Namun, kelainan pada kali ini adalah kami mengambil keputusan untuk kolaborasi bersama beberapa pihak lain antaranya Jawatankuasa Masjid dan juga Pusat Khidmat Parlimen Beaufort.
“Kita berharap akan dapat diteruskan pada masa akan datang di lain-lain daerah di negeri ini, jadi kita harapkan majlis ini dapat memberi impak positif dan sedikit sebanyak dapat membahagiakan mereka yang diraikan di samping dapat memperkukuhkan hubungan silaturahim antara komuniti setempat,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Menyusul kemudian, program tersebut diteruskan ke masjid Kampung Berangkok untuk solat berjemaah Isyak dan tarawih.
Pada kedua-dua majlis, turut disampaikan sumbangan untuk tabung masjid, fakir miskin dan buah kurma. – UMNO Online