Perkukuh Kerajaan Perpaduan, Semak Dan Imbang Antara Fokus UMNO Negeri Sembilan – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 4 April – UMNO/Barisan Nasional (BN) memainkan peranan tersendiri sebagai parti yang berkongsi kuasa di Negeri Sembilan selaku semak dan imbang dalam usaha memperkukuh permuafakatan dalam Kerajaan Perpaduan.

Paling penting dan yang utama sudah pasti adalah untuk memastikan agenda pembangunan negeri dan pembelaan rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin biarpun dua parti berkongsi kuasa sebagai teraju kerajaan negeri.

Bagi Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias,  itulah penekanan yang diberikan dan kelebihan yang ada pada Kerajaan Perpaduan hari ini di negeri tersebut adalah persefahaman antara satu sama lain.

“Kita berperanan sebagai semak dan imbang dalam kerajaan. Kita kena ingat walaupun kita mempunyai kuasa atau mandat yang melebihi 2/3 tetapi bukan semua keputusan yang kita buat itu betul. Kelebihan yang kita ada sekarang ini ialah Kerajaan Perpaduan disertai oleh dua parti yang sentiasa melihat antara satu sama lain.

“Tugas saya selaku Exco Kanan bersama dengan yang lain adalah untuk memastikan kerajaan negeri sentiasa stabil dan diurus dengan baik dan juga dapat menjalankan tugas untuk memastikan semua hal ehwal ekonomi, agama, pembelaan masyarakat dan lain-lainnya dapat kita teruskan,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi yang genap setahun pada Mac memimpin UMNO Negeri Sembilan, sebagai lapisan kedua peranan semak dan imbang amat penting.

“Dalam soal berkaitan parti politik umpamanya… apa yang dibawa oleh MB dan daripada kita mestilah mendapat keseimbangan atau dengan kata lainnya percaturan sama rata… dan MB menerima keadaan ini sebaiknya. Sebab itu di Negeri Sembilan penyelesaian kepada JPKK selesai mengikut tempoh tertentu dan pelantikan Ahli Majlis selesai dalam suasana yang baik kerana kita meletakkan rakyat di depan. Begitulah dengan perkara-perkara lain.

“Sebagai lapisan kedua kita mempunyai peranan besar sebagai semak dan imbang untuk kecemerlangan negeri dan pembelaan rakyat secara berterusan. Kita nampak wujud perubahan yang sangat ketara… apa perubahan yang berlaku… perubahan di mana urus tadbir yang dijalankan oleh kerajaan negeri sentiasa meletakkan kepentingan pembangunan ekonomi, sosial dan juga pembelaan rakyat itu sebagai keutamaan.

“Keduanya segala permohonan dan permintaan oleh kedua-dua parti dikumpulkan sekali dan dibuat solusi oleh pimpinan negeri untuk kita laksanakan dan ini tidak mengecilkan hati mana-mana pihak. Kita tidak rasa kita diketepikan dan saya fikir ini adalah satu pendekatan serta permulaan yang baik supaya kerajaan negeri dapat diperkukuhkan untuk kepentingan rakyat,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.