Penyertaan Pihak Swasta Berjaya Kurangkan Jurang Warga Kurang Berkemampuan – Noraini

KUALA LUMPUR, 4 April – Keperluan warga yang kurang berkemampuan perlu sentiasa dipantau dan penyertaan pihak swasta dalam usaha ini telah berjaya mengurangkan jurang di sesetengah tempat, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memikul tugas besar bagi mengenal pasti golongan kurang berkemampuan agar mereka dapat dibantu sebaiknya.

“Alhamdulillah, seminggu menuju Syawal, kita sama-sama menyantuni rakan-rakan yang kurang berkemampuan bagi membuat persediaan hari lebaran. Mereka tidak kita lupakan. Kehadiran mereka adalah pelengkap kepada sebuah masyarakat.

“Dalam hal ini Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat memikul tugas besar bagi mengenal pasti golongan tersebut bagi membantu mereka seboleh mungkin serta mencari jalan agar mereka boleh memperbaiki taraf hidup di samping bersaing dengan orang lain.

“Ini matlamat kita. Mengecilkan jurang kaya dan miskin memakan masa yang lama, tetapi lambat laun ia boleh dicapai jika masyarakat majmuk Malaysia turut membantu usaha ini. Apatah lagi kehidupan bandar mendesak kita membeli hampir setiap barangan dan asas keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Program Bantuan Ramadan Syawal oleh Kedutaan Besar Republik Rakyat China, di Masjid Al-Mubarakah, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa keperluan asnaf, anak yatim dan insan-insan kurang berkemampuan yang lain perlu sentiasa dipantau.

“Keperluan asnaf, ibu tunggal, anak yatim dan sebagainya mesti sentiasa dipantau. Penyertaan pihak swasta dalam usaha ini telah berjaya mengurangkan jurang ini di sesetengah tempat.

“Saya gembira kerana Kedutaan China telah tampil untuk membantu mereka. Untuk tahun kedua berturut-turut, mereka telah menunjukkan kebajikan terhadap golongan ini. Setinggi-tinggi penghargaan kami kepada mereka. Semoga mereka menyumbang lagi pada tahun hadapan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa masjid al-Mubarakah kerana mengundang saya ke majlis ini. Insya-Allah, kita akan bekerjasama lagi pada masa depan. Semoga usaha murni ini berpanjangan,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut memberikan sumbangan peribadi berupa wang tunai kepada Masjid Al-Mubarakah.

Untuk rekod, seramai 100 orang telah menerima sumbangan daripada Kerajaan China melalui kedutaannya di Malaysia.

Penerima sumbangan tersebut terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan seperti asnaf dan juga orang kelainan upaya (OKU).

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Kedutaan China di Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bekerjasama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.