Segera Realitikan ‘Sabah Maju Jaya’, Rakyat Nak Lihat Masalah Air, Elektrik, Jalan Raya Selesai – Sharif Musa

LAHAD DATU, 3 April – Rakyat Sabah berhasrat untuk melihat bukti masalah air, elektrik dan jalan raya selesai sebelum satu Syawal, kata Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah mendapat keluhan daripada rakyat Sabah yang rata-rata berharap agar segala masalah selesai menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, saya telah mendapat keluhan dan laporan dari rakyat Sabah. Salah satu harapan mereka sempena menyambut satu Syawal adalah air yang cukup untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri dan menyediakan hidangan minuman kepada tetamu datang rumah ke rumah beraya.

“Selain itu, mempunyai bekalan elektrik supaya para jemaah dapat melaungkan takbir raya dan tidak bergelap ketika menyambut lebaran. Akhir sekali, turap jalan yang hancur untuk mengelakkan kemalangan jalan raya hingga menggadaikan nyawa rakyat dan rim kereta mereka pecah,” katanya.

Menurutnya, adalah besar harapan rakyat di Negeri Sabah untuk melihat segala masalah tersebut selesai seiring dengan cogan katanya ‘Sabah Maju Jaya’.

“Bila disebut Kerajaan ‘Sabah Maju Jaya’, pasti dapat menyelesaikan masalah asas ini untuk rakyat Sabah menyambut hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.

“Sudah lebih tiga tahun kerajaan negeri Sabah memerintah. Rakyat Sabah mahu melihat bukti masalah air, elektik, dan jalan raya selesai sebelum menyambut satu Syawal. Jangan papan tanda saja yang banyak seluruh Sabah menyebut ‘Sabah Maju Jaya’,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.