AIROD Wajar Sahut Saranan, Posisi Organisasi Kembangkan Industri Pertahanan Negara – Khaled

SUBANG, 3 April – Aircraft Inspection, Repair & Overhaul Depot (AIROD) sewajarnya menyahut saranan dan memposisikan organisasi mereka ke arah mengembangkan industri pertahanan tempatan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO telah mengadakan lawatan kerja ke AIROD yang berpangkalan di Subang dan ia merupakan sebuah syarikat di bawah kawal selia National Aerospace and Defence Industries (NADI).

“Saya telah berpeluang mengadakan lawatan kerja ke AIROD di Subang, sebuah syarikat di bawah NADI. Syarikat ini telah menyediakan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) penerbangan sejak tahun 1976 lagi. Keberadaan AIROD selama ini dalam industri menggambarkan kekuatan dan daya tahan syarikat tersebut.

“AIROD sewajarnya menyahut saranan dan memposisikan organisasinya ke arah mengembangkan industri pertahanan tempatan. Setiap peluang yang ada harus dimanfaatkan untuk memajukan industri pertahanan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, adalah penting untuk organisasi seperti AIROD terus ke hadapan untuk memperkukuhkan ekosistem pertahanan negara.

“Walau apa pun, tahniah kepada AIROD atas kemajuan, kejayaan dan sumbangan selama ini, misalnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada para veteran kita, mencipta peluang ‘spin-off’, dan pada masa yang sama membantu negara mengurangkan pengaliran wang keluar.

“Penting untuk organisasi seperti AIROD terus ke hadapan bagi mengukuhkan ekosistem pertahanan tempatan. Semoga visi AIROD untuk menjadi penyedia perkhidmatan MRO utama di rantau ini menjelang 2040 dapat dicapai,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.