Seruan Boikot Adalah Pilihan, Tidak Ada Kaitan Tindakan Keganasan ‘Act Of Terror’ – Hafiz Ariffin

KUALA LUMPUR, 2 April –  Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin menegaskan seruan untuk memboikot KK Mart adalah gerakan kesedaran sebagai pengguna, demokrasi dan ianya pilihan masing-masing.

Malah tegas beliau lagi ia tiada kena mengena dengan tindakan keganasan ‘act of terror’ baling molotov cocktail dan apa yang penting ia adalah dua perkara yang cukup berbeza dan cukup simplistik untuk mengaitkan keduanya.

“Yang terang-terang salah adalah KK Mart, kerana culas dalam mengendali stok dan memasarkan stoking yang jelas sekali menghina. Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh hanya menyuarakan bantahan sebelum ada mana-mana pihak berkuasa mengambil tindakan dan setelah titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), barulah ada tindakan-tindakan drastik pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya mempersoalkan mengapa tidak bangkit sekali untuk menyalahkan gerakan memboikot Starbucks, McDonald serta KFC.

“Mengapa beria-ia mempertahankan KK Mart? Apa istimewanya? Sewajarnya rakan-rakan di sebelah sana sarankan pihak berkuasa segerakan siasatan dan dedahkan siapa dalang tersebut dan hukum mengikut lunas undang-undang.

“Yang pertahankan kalimah Allah dituding seolah-olah salah, yang menjual menghina kalimah Allah dipertahan. Logiknya luar biasa,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.