Semoga UMNO Johor Terus Rapatkan Saf, Jayakan Agenda Bela ‘ABATA’ – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 2 April – Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap agar UMNO Johor meneruskan usaha untuk merapatkan saf bagi menjayakan agenda membela agama, bangsa dan tanah air (ABATA).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menzahirkan syukur kerana berpeluang untuk iftar bersama-sama dengan barisan kepimpinan UMNO Negeri Johor dan rakan-rakan parti komponen.

“Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang berbuka puasa bersama Kepimpinan UMNO Negeri Johor dan rakan-rakan dari Parti Komponen.

“Semoga UMNO Johor terus merapatkan saf demi menjayakan agenda membela agama, bangsa dan tanah air.

“Dalam waktu yang ada, saya turut berpeluang beramah mesra bersama rakan-rakan kepimpinan UMNO Negeri Johor. Saya doakan agar 10 malam terakhir ini menjadi asbab Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita,” katanya.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita UMNO Malaysia merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman serta barisan kepimpinan UMNO, MIC dan MCA Negeri Johor. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.