Bung Selar Sentimen Negatif, Tolak Dakwaan UMNO Rampas Kuasa Sabah

KINABATANGAN, 2 April – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyelar segelintir pemimpin politik di negeri ini yang cuba meniup sentimen negatif dengan mendakwa UMNO sebagai parti Malaya yang merampas kuasa di Sabah.

Tegasnya, perkara ini seharusnya tidak timbul kerana UMNO sudah wujud 33 tahun di Sabah dan dipimpin oleh orang Sabah sendiri.

“Seharusnya perkara ini tidak timbul. Sebilangan mereka yang melabelkan UMNO sebagai parti Malaya dahulunya pernah bersama UMNO dan terlibat sebagai pengasas pada awal kemasukan parti ini ke Sabah.

“Justeru sentimen ini terlalu negatif dan boleh menjejaskan konsep Kerajaan Perpaduan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

 

Ujar Bung, walaupun masyarakat Malaysia menganut agama tidak sama, tetapi rakyatnya masih menghargai perbezaan itu dan melakar kemajuan serta mencipta kejayaan bersama-sama dari semasa ke semasa.

“Inilah keunikan tradisi kita yang harus dipelihara oleh setiap warga, malah menjaga kesinambungannya. Di sebalik perbezaan, kita masih boleh berkongsi apa yang ada. Semuanya direalisasikan menerusi toleransi dan untuk menghangatkan kembali, maka Ramadan adalah detik terbaik,” katanya ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa di Masjid Daerah Kinabatangan, baru-baru ini.

Sehubungan itu Bung berharap, rakyat Malaysia menggunakan setiap peluang yang ada bagi memperkukuh semangat perpaduan melalui pelbagai aktiviti membabitkan semua kaum.

“Usaha gigih yang berterusan bagi menggalakkan budaya harmoni terus disemai amat penting dan Ramadan ini adalah detik terbaik bagi mencetus perpaduan dalam memacu kejayaan negara,” katanya.

Dalam masa yang sama, Bung juga menyeru umat Islam agar memanfaatkan bulan Ramadan ini sebagai medium untuk memperkukuhkan ukhuwah,memulihkan hubungan sesama insan dan memelihara perpaduan.

Katanya, umat Islam ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran, malah ada usaha pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab cuba memperlekah agama Islam hingga boleh mencetuskan susana yang tidak harmoni dan mengugat keamanan.

“Kerana itu umat Islam perlu bersatu padu, menyambut Ramadan dengan hati yang bersih, fikiran yang jernih dan amalan yang soleh di samping mengekalkan semangat perpaduan.

“Justeru kita perlu mengelak perbuatan yang boleh memecahkan belah semangat perpaduan dikalangan rakyat Malaysia dengan kepelbagaian entik dan anutan agama,” katanya lagi.

Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf selain mengagih-agihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya yang melalui Jalan Lahad Datuk, Sandakan ke Kota Kinabalu serta kakitangan di balai polis dan hospital daerah Kinabatangan.

Beliau juga turut melakukan kunjungan mesra ke bazar Ramadan di dataran Kinabatangan serta beramah mesra bersama peniaga dan orang ramai yang berkunjung ke bazar tersebut.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.