Program ATAP: 50 Buah Rumah Peserta eKasih Dibaik Pulih – Azalina

PENGERANG, 1 April – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa sebanyak 50 buah rumah peserta eKasih yang terdiri daripada golongan B40 telah dibaik pulih menerusi Program Ambil Tahu Ambil Peduli (ATAP).

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia turut berharap agar bantuan diberikan dapat menyerikan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi.

“Pada tahun ini, sebanyak 50 rumah golongan peserta eKasih dan B40 di Parlimen Pengerang telah dibaik pulih menerusi Program ATAP. Penerima juga diberi bantuan peralatan rumah antaranya kelengkapan perabot.

“Semalam, beberapa rumah di Kampung Baru Dato Ghani Othman telah menerima peralatan rumah menerusi program ATAP.

“Bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak menyerikan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri penerimanya pada tahun ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan bomba yang sentiasa komited menyalurkan khidmat bakti buat masyarakat.

“Wira tidak didendang yang sentiasa bersama masyarakat. Itulah wira-wira kita dari pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang cekal membantu masyarakat ketika berlakunya kecemasan. Tanpa mengeluh, mereka terus menaburkan bakti kepada kita semua.

“Semalam, pasukan bomba telah datang ke Kampung Baru Dato Ghani Othman untuk memadamkan kebakaran kecil yang berlaku di kawasan sekitar kampung.

“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan bomba yang komited dalam menyalurkan khidmat bakti kepada masyarakat. Segala jasa dan bakti anda semua sentiasa dikenang dan dijadikan inspirasi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan semua rakyat untuk mengambil langkah berjaga-jaga ketika negara berhadapan dengan cuaca yang agak panas.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin menasihatkan kepada semua agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ekoran keadaan cuaca panas pada ketika ini.

“Pastikan minum banyak air ketika sahur dan hindari terlalu lama terdedah di bawah sinaran matahari,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.