Lebih 600 Sertai Tadarus Dan Khatam Al-Quran 2024, HAWA & Wanita Kota Melaka Hargai Sokongan

KUALA LUMPUR, 1 April – Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah menghargai sokongan dan penglibatan lebih 600 orang dalam menjayakan Majlis Tadarus dan Khatam Al Quran Perdana 2024.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, UMNO Malaysia (Hawa) Melaka, memaklumkan bahawa majlis tersebut adalah acara tahunan sebagai mengimarahkan bulan Ramadan.

“Saya merakamkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas keizinan-Nya jua majlis ini berjaya diadakan. Alhamdulillah.

“Majlis ini adalah acara rutin yang dilaksana tiap tahun sejak empat tahun yang lalu dan kali ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan dengan penglibatan peserta teramai sejak diadakan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Ujarnya, majlis tersebut adalah anjuran bersama Wanita UMNO Kota Melaka dengan HAWA Melaka yang turut disertai wakil NGO seperti Majlis Persatuan Wanita Kebangsaan Malaysia (NCWO), Usahanita, PERKIM dan lain-lain termasuk kumpulan bacaan Yassin, berzanji, marhaban serta kumpulan tadarus dari surau dan masjid di kawasan sekitar.

“Majlis ini cukup berseri dengan kehadiran ‘ibu Hawa Malaysia’, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil selaku Pengerusi HAWA Malaysia bersama rombongannya yang menjadi tetamu kehormat.

“Majlis ini pastinya tidak akan berjaya tanpa usaha semua pihak termasuklah sekretariat yang bertungkus-lumus menjayakannya, dan menjadikan pelbagai pihak berada dalam satu majlis ilmu yang sangat bermakna.”

Jelasnya, turut diraikan dalam majlis tersebut ialah seramai 30 orang wanita penerima Anugerah Inspirasi Wanita Ad-Deen.

“Mereka ini terdiri daripada komuniti yang baik sahsiahnya, banyak melakukan program kerohanian dan guru-guru mengaji al-Quran di kampung-kampung dan taman-taman di sini,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO; Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ibrahim Fadzi; Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd Noor Helmy Halem yang juga Ketua Penerangan UMNO Kota Melaka merangkap ADUN Duyong; Exco Wanita UMNO Malaysia merangkap Ahli Majlis HAWA, Datuk Latteefa Ali serta barisan kepimpinan UMNO serta Puteri Bahagian Kota Melaka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.