UMNO/BN Sabah Akan Terus Berjuang Membela Rakyat – Bung Moktar

KINABATANGAN, 31 Mac – Rakyat yang sudah sedia tertekan berikutan kesan pandemik COVID-19, akan terus berdepan dengan kos sara hidup lebih tinggi masa kini apabila harga makanan dan bahan mentah sudah mula naik sedikit demi sedikit.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, bukan sahaja tekanan dengan kos sara hidup, tapi dalam masa yang sama rakyat berhadapan dengan masalah ketiadaan prasarana serta infrastruktur asas seperti perhubungan jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik yang sempurna sehingga menjejaskan kesejahteraan kehidupan mereka seharian.

“Majoriti rakyat yang ditemui menzahirkan harapan kerana semenjak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih tampuk kerajaan negeri dengan hala tuju ‘Sabah Maju Jaya’ dianggap dapat mengubah hidup namun ternyata ia lebih parah dari sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan program ziarah ke beberapa buah kampung di kawasan Parlimen Kinabatangan termasuk di tempat kelahirannya, kampung Bilit dekat sini pada Jumaat.

Menurut Ketua UMNO bahagian Kinabatangan itu, UMNO/Barisan Nasional (BN) cakna terhadap situasi yang dihadapi oleh rakyat ketika ini, bagaimanapun dalam kedudukan parti yang diletakkan sebagai pembangkang di peringkat negeri dengan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili UMNO disekat maka tidak banyak bantuan dapat disalurkan.

“Namun UMNO/BN akan terus memperjuangkan nasib rakyat di negeri ini agar terus terbela kerana kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan.

“UMNO/BN akan bangkit memperjuangkan masa depan rakyat di negeri ini, justeru sokongan dan dukungan daripada ahli dan rakyat di peringkat akar umbi amat penting dalam menjayakan misi untuk bangkit kembali menukar kerajaan hari ini yang gagal membela rakyat,” katanya.

Bung berkata, UMNO telah bersama-sama mengharungi pahit getir yang menguji kekuatan dan kerukunan dalam satu organisasi dengan berlapang dada dan memberikan sokongan padu kepada pembentukan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), namun jasa dan pengorbanan UMNO itu hanya dipandang sebelah mata ibarat walau duduk serumah tetapi berlainan bilik.

“Kita tidak mahu seperti melukut di tepi gantang, pengorbanan dan jasa kita kepada pembentukan kerajaan negeri sebelum ini hanya dilihat sebagai satu sumbangan kecil, maka kita perlu bangkit sebagai parti yang bermaruah dan pernah berjasa kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Bung yang juga ADUN Lamag mengajak rakyat agar bersatu menghadapi segala cabaran baik dari luar mahupun dari dalam parti sendiri.

“Ia memerlukan perpaduan dari semua anggota parti untuk terus bekerjasama, memperkukuh kekuatan dan melihat masa hadapan yang lebih baik dari keadaan sekarang.

“Selepas pelbagai cabaran dan krisis yang dilalui ketika ini, saya tak nafikan ramai yang masih berharap pada UMNO, mana-mana kawasan saya pergi mereka masih yakin dan menaruh harapan pada UMNO untuk kembali kuat.”

Katanya, UMNO perlu diperkukuh dan diperkuat kembali bagi menjadi landasan perjuangan utama dalam hasrat membangunkan Sabah jauh lebih baik dari sekarang.

Pada ziarah tersebut Bung bersama rombongon turut menunaikan sembahyang Jumaat di masjid Kampung Bilit dan mengambil peluang untuk ziarah ke makam ayahanda beliau Allahyarham Radin Yatim di tanah perkuburan Islam Kampung Bilit sebelum meneruskan jelajah Ramadan ke Kampung Sukau.

Turut serta dalam program tersebut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Jafry Ariffin; Ketua Wanita UMNO Bahagian Kinabatangan, Aminah Johan; Ketua Pergerakan Pemuda, Mohd Kurniawan Naim dan Ketua Pergerakan Puteri Bahagian Kinabatangan, Norfianah Piddin Nani. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.