Ingatlah Jasa UMNO Bangunkan Negara, Jangan Termakan Fitnah Dan Kebobrokan Pihak Lawan

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Muhamad Farizat Khairuddin menegaskan anak-anak muda sekarang ini harus  ingat jasa bakti yang dikorbankan oleh pemimpin terdahulu melalui kepimpinan UMNO.

Ini kerana katanya walaupun UMNO sentiasa dicerca dan dimaki tetapi harus ingat bahawa keharmonian yang dikecapi selama ini adalah hasil pengorbanan dan titik peluh nenek moyang yang membangunkan negara ini.

“Sebagai anak muda, saya sedang berhutang dengan nenek moyang kita. Dengan jasa, sejarah yang cukup membanggakan. Generasi anak-anak muda sekarang ini harus membayar hutang yang telah ditinggalkan oleh nenek moyang kita.

“Sebenarnya UMNO ini sememangnya unik, walaupun dicerca, dimaki, dihina kanan dan kiri tetapi akar umbi dan pemimpin masih lagi berkhidmat serta menyalurkan bantuan untuk rakyat. Ini adalah tradisi turun temurun daripada pemimpin terdahulu hingga ke hari ini.

“Jangan main politik murahan sepertimana yang cuba ditampilkan oleh pemimpin lawan tapi cuba ‘up selling’ dan ‘up branding’ dasar-dasar kerajaan dan akhirnya akan menguntungkan kepada rakyat. Itulah pertimbangan dan kira-kira kenapa UMNO masih relevan pada hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya UMNO perlu bangkit dan menampilkan prestasi serta kredibiliti yang terbaik untuk menjaga imej parti.

“Marilah bersama-sama percaya dan yakin dengan kepimpinan UMNO sekarang. Yakin dengan adanya anak-anak muda yang berada dalam komponen parti dan boleh bawa jauh ke hadapan.

“Insya-Allah, satu hari nanti UMNO mampu menubuhkan kerajaan yang tersendiri daripada sokongan-sokongan semua dan ingat ‘we are a nuclear of change’ dan kitalah pembawa perubahan pada UMNO dan parti ini akan berubah dan sentiasa berubah,” katanya lagi.

Sementara itu bagi ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Padang Serai, Muhamad Aswad Abdullah percaya anak-anak muda sebelum ini telah terpedaya dengan dakyah dan  fitnah yang memburukkan parti.

“Anak-anak muda termakan fitnah dengan kebobrokan yang dibawa oleh pihak lawan kerana sering memainkan naratif rasuah, bahawa sekiranya memilih UMNO maka parti ini adalah rasuah.

“Sebenarnya mereka lupa, mereka menutup kebobrokan yang ada pada diri mereka dengan menuduh kepimpinan UMNO sedangkan dalam masa yang sama mereka sendiri juga terpalit dengan bermacam-macam isu. 

“Saya yakin dan percaya sekiranya UMNO berkerja lebih kuat, insya-Allah… akan berjaya menakluki semula hati anak-anak muda yang sudah terpesong akibat fitnah dan mainan naratif jahat oleh pihak lawan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.