Dakwaan UMNO Sabah Berpecah Tidak Benar – Jeffery Nor

SANDAKAN, 31 Mac – Tidak timbul isu perpecahan dalam UMNO Sabah dalam menentukan soal kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata, perkara ini masih di peringkat perbincangan awal, belum dimuktamadkan dan sebarang cadangan berkaitan soal kerjasama bersama parti lain belum dikemukakan kepada Barisan Nasional (BN) Pusat.

Jeffery yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan merasa hairan dan pelik apabila ada pihak yang bukannya orang politik dan tidak berada dalam UMNO/BN lebih arif tentang kedudukan dan situasi semasa parti terbabit dengan mendakwa berpecah kepada dua kumpulan ekoran menentukan soal kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17.

Menurut beliau walaupun individu tersebut seorang penganalisis politik, namun tidak semua tulisan dan pandangannya tepat tentang isu semasa politik di Sabah, apalagi tulisan dan pandangan beliau tidak berdasarkan fakta dan lebih memihak atau mengampu kepada sebelah pihak sahaja.

Jeffery berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media penganalisis politik dari sebuah universiti awam yang menyebut kepimpinan tertinggi BN terpaksa turut serta bagi mengurangkan pertikaian antara dua puak dalam UMNO Sabah berhubung dengan hala tuju pada pilihan raya negeri akan datang

“Ini hanya pandangan peribadi beliau yang cuba menimbulkan persepsi dan spekulasi bagi merosakkan imej UMNO/BN Sabah dan umum mengetahui tulisan beliau lebih memihak kepada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS),“ katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 5 baru-baru ini.

Zon 5 melibatkan UMNO Bahagian Libaran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan Beluran.

Menurut Jeffery, bagaimana mungkin orang luar lebih tahu dari pemimpin UMNO/BN di Sabah apatah lagi ia adalah pandangan lebih bersifat prejudis dan tidak berfakta yang mencerminkan tahap kedangkalan dalam menyelami dan mengulas isu politik sebenarnya di Sabah.

“Saya nak betulkan fakta bahawa yang diberikan kuasa autonomi ialah UMNO Sabah bukan BN Sabah, jadi sebarang keputusan yang melibatkan BN akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi BN Pusat,” katanya.

Tambah Jeffery, meskipun belum dimuktamadkan soal kerjasama UMNO/BN bersama parti lain bagi menghadapi PRN17 akan datang, namun ada pihak sudah merasa gusar dan gerun apabila disebut soal kerjasama dan terpaksa menggunakan pelbagai medium bagi mengekang dan menafikan kebangkitan rakyat untuk menukar kerajaan baharu pada PRN17 akan datang.

Jeffery berkata, tidak timbul isu UMNO Sabah berpecah atas andaian rampasan kuasa atau ‘Langkah Kinabalu’ yang digembar-gemburkan sebelum ini.

“Itu hanya merupakan persepsi melampau kerana sehingga kini tidak ada bukti menunjukkan penurunan tandatangan (SD) untuk menghadap Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT) sebagaimana berlaku pada tahun 2020.

“Selepas dakwaan ‘Langkah Kinabalu’ UMNO Sabah masih kukuh, pemimpin UMNO yang enggan menerima keputusan sebulat suara UMNO Sabah menarik sokongan kepada Ketua Menteri, ada sebilangan pemimpin yang tiada prinsip perjuangan lebih mengutamakan kepentingan peribadi namun itu bukan gambaran UMNO Sabah sudah berpecah,” jelas Jeffery.

Dalam pada itu Jeffery turut mengulas pandangan penganalisis dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura yang berkata campur tangan BN Pusat mencerminkan keengganannya untuk bekerjasama dengan Warisan, yang disifatkannya sebagai parti serpihan UMNO Sabah.

“Tidak timbul soal keengganan atau campur tangan BN Pusat bagi UMNO/BN Sabah berkerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17, kita baru di peringkat perbincangan, belum ada pun sebarang keputusan muktamad, apa lagi cadangan yang dikemukakan kepada BN Pusat, namun UMNO/BN Sabah yakin sekiranya cadangan dikemukakan, maka BN Pusat akan memberikan pertimbangan sewajarnya berdasarkan kepada senario politik semasa di negeri ini,” jelas Jeffery lagi.

Oleh: JBW

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.