Sumbangan RM1 Juta Kepada Gaza, Simbolik Keprihatinan UMNO

 

BAGAN DATUK, 30 Mac – UMNO menyampaikan RM1 juta kepada rakyat Gaza di Palestin yang masih bergelut akibat konflik perang berterusan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Kompleks UMNO Bagan Datuk.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata bantuan tersebut adalah bagi membeli barangan keperluan untuk meringankan penderitaan dihadapi penduduk Gaza.

Menurut beliau, bantuan tersebut dijangka akan dihantar pada penghujung bulan hadapan.

“Presiden UMNO telah bermurah hati untuk menyumbangkan RM1 juta untuk MAPIM membeli dan membawa barang-barang keperluan untuk rakyat di Gaza.

“Insya-Allah apabila cukup jumlah dan cukup persiapan semua, barang-barang ini akan dihantar ke sempadan Rafah. Lebih-lebih lagi hari ini kita lihat pihak Zionis memang terus-menerus melakukan serangan yang telah mengakibatkan banyak kerosakan di bumi Palestin.

“Kita harapkan dengan bantuan ini dapat meringankan beban yang telah sedang mereka hadapi sekarang. Dijangkakan pada hujung April,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata bantuan itu simbolik keprihatinan dan cakna UMNO terhadap krisis yang melanda umat Islam di sana.

“UMNO memang sentiasa membantu mana-mana saja muslimin dan muslimat yang berhadapan dengan musibah.

“Ini adalah sumbangan sedikit yang kita lihat daripada UMNO. Sebenarnya ada banyak lagi sumbangan-sumbangan yang telah kita lakukan sepanjang krisis Palestin ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.