Rakyat Sabah Mahukan Perubahan, UMNO Harapan Untuk Masa Hadapan Lebih Baik – Sharif Musa

LAHAD DATU, 30 Mac – Rakyat Sabah mengharapkan perubahan sepenuhnya dalam pentadbiran kerajaan lantaran mahukan pembaharuan dan kemajuan untuk masa depan mereka.

Demikian jelas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul yang merasai gelombang sokongan rakyat kepada UMNO dalam setiap program termasuklah menerusi siri jelajah berbuka puasa yang melibatkan enam zon dan berakhir di Zon 5, baru-baru ini.

Katanya, rakyat Sabah mengharapkan UMNO untuk membawa pembaharuan lantaran sehingga kini mereka masih terbelenggu dengan pelbagai masalah khususnya yang melibatkan keperluan asas.

“Alhamdulillah. Cukup terasa kehadiran rakyat Sabah pada setiap program UMNO berbuka puasa. Bermula Majlis Berbuka Puasa Zon 3, 1, 2, 4, 6, dan berakhir Zon 5, rakyat Sabah mengharapkan perubahan total,” katanya.

Ujar beliau, banyak luahan rakyat ketika ini yang rata-ratanya adalah berkaitan keperluan asas masyarakat tidak dipenuhi ekoran kegagalan pentadbiran kini.

“Sesungguhnya Sabah amat sukar membangun disebabkan keperluaan asas gagal diselesaikan. Masalah berkaitan bekalan air, keperluan elektrik dan jaringan jalan raya yang tidak dilaksana banyak membantutkan usaha untuk membawa kemajuan.

“Ini bukan hanya kepada kawasan tertentu tetapi juga menjadikan kehidupan rakyat semakin mundur.”

Jelasnya, rakyat Sabah melihat UMNO adalah harapan bagi membantu mereka apatah lagi parti ini mempunyai trek rekod bersama Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menjadi kerajaan negeri dan membawa pelbagai infrastruktur kepada rakyat.

“Setakat ini, rakyat Sabah tidak menetapkan sebarang permintaan kepada UMNO, sebaliknya hanya menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan parti.

“Namun sebagai parti yang cakna dalam perkembangan semasa, UMNO tentunya akan beruasaha agar dapat menyelesaikan segala masalah asas yang dihadapi dan dapat membangunkan Sabah setaraf negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Sharif Musa adalah antara kepimpinan UMNO yang mengiringi Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam siri jelajah Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah dengan yang terakhir di Zon 5 melibatkan UMNO Bahagian Kinabatangan, Libaran, Beluran, Batu Sapi dan Sandakan pada Khamis lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.