Iftar Ramadan UMNO Tenom Eratkan Silaturrahim, Perkukuh Perjuangan Parti

TENOM, 30 Mac – UMNO Bahagian Tenom terus menyantuni masyarakat dalam Iftar Ramadan bersama orang ramai yang berlangsung di Kampung Makaniton, di sini baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raime Unggi memaklumkan bahawa pendekatan untuk bersama-sama masyarakat setempat dilaksana secara beterusan dan ditambah meriah dengan mengambil keberkatan bulan Ramadan iaitu dengan berbuka beramai-ramai.

“Mengambil keberkatan bulan Ramadan, UMNO Tenom terus menyantuni rakyat khasnya golongan asnaf kerana kita dalam parti sentiasa mengutamakan khidmat kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga ADUN Sabah dilantik melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis iftar tersebut.

“Saya amat menghargai penglibatan semua pihak termasuklah orang ramai yang datang untuk berbuka puasa bersama-sama. Terima kasih kerana sentiasa menyokong perjuangan parti dan moga kita terus kekal dalam tekad demi agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, UMNO Bahagian Tenom menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada golongan asnaf melibatkan 100 orang penerima. Turut diraikan dalam program iftar tersebut ialah pelajar Tahfiz Ar-Raudhah dan pelajar Tahfiz Nur-Aisyah, di sini.

Majlis iftar yang diadakan di Masjid An-Nur Kampung Makaniton turut dihadiri Penolong Pegawai Daerah Tenom, Yuesri Yusof dan kepimpinan UMNO Bahagian Tenom. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.