Semua Pihak Main Peranan, Jangan Mainkan Isu Jejas Perpaduan Negara – Jamal Nerubi

PAPAR, 29 Mac – Semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan negara terus aman dan sejahtera tanpa menyentuh apa-apa isu yang boleh menjejaskan perpaduan.

Demikian ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi yang mahukan kesejahteraan negara terus dipelihara dengan memperkukuh kesepakatan perpaduan sebagaimana yang telah digariskan oleh kepimpinan terdahulu.

Katanya, proses menyemai perpaduan telah dilaksana oleh pemimpin terdahulu sejak sebelum merdeka lagi sebagaimana pemimpin UMNO membentuk persefahaman di seluruh negara.

“UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah parti yang konsisten mendukung perpaduan, menyemai kesatuan dan sentiasa menyeru semua pemimpin dari pelbagai lapisan masyarakat untuk terus menjaga perpaduan dan keharmonian agar kestabilan negara dapat dijamin.

“Kita hari ini dalam Kerajaan Perpaduan juga adalah berdiri atas dukungan persefahaman yang mengutamakan kestabilan negara demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini yang cakna terhadap beberapa isu sensitif termasuk menyentuh kesucian agama Islam dan polemik perkauman yang mampu mencetuskan suasana ketidakharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini.

“Kita dalam Kerajaan Perpaduan hari ini perlu kekal fokus dan produktif namun begitu UMNO tidak pernah tunduk kepada mana-mana pihak malah tetap sebagai parti yang menjadi benteng dan memelihara kedaulatan Islam dan kepentingan bangsa.

“UMNO tidak pernah sesekali berkompromi dengan apa-apa juga tindakan yang mencemarkan kesucian agama Islam sebaliknya kita menjunjung syiarnya. Kita juga menolak hal-hal bersifat sensitif yang hanya akan mengundang kepada rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.”

Tegasnya, hal ini amat penting diambil berat kerana negara ini adalah berasaskan masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai suku kaum, etnik dan agama berbeza.

“Kerana itu kita perlu semaikan sentiasa rasa hormat menghormati, saling memahami dan wujudkan semangat kebersamaan setiap masa,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.