MB Johor Hanya Mahu Pentadbiran Di CIQ Lancar – Pandak

JOHOR BHARU, 29 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad yakin bahawa segala usaha Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hanyalah untuk menjadikan pentadbiran Kastam dan Imigresen (CIQ) berjalan dengan baik serta lancar.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau beranggapan bahawa Setiausaha Agung CUEPACS tidak benar-benar tahu akan masalah yang berlaku di pintu sempadan Johor-Singapura.

“Masa puncak CIQ untuk hari minggu pun tak tahu. Menteri Besar (MB) turun padang hari Ahad. Buat pengetahuan CUEPACS dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), waktu puncak hari bekerja dan cuti hujung minggu berbeza. Kalau hari bekerja, pagi dan petang sahaja akan sesak. Tapi kalau hujung minggu, sepanjang hari sebab orang memang keluar masuk Johor-Singapura.

“Saya berpandangan Setiausaha Agung CUEPACS itu tidak benar-benar tahu masalah yang berlaku di pintu sempadan Johor. Semak dan turun padang sebelum nak buat kenyataan. Saya sifatkan komen CUEPACS terhadap MB Johor hanyalah menegakkan benang yang basah,” katanya.

Menurutnya, beliau sering mengiringi MB untuk bertemu dengan rakyat dan segala keluhan serta komentar perlulah didengari, berserta jalan penyelesaian.

“Sebagai ADUN kawasan, saya juga kerap mengiringi MB. Kami kena hadap keluhan dan komen rakyat. Rakyat call, ‘tag’ kami di media sosial, takkan kita sebagai pemimpin nak diam? Kalau tak kongsi masalah sebenar di sosial media, macam mana rakyat nak tahu. Sekarang semua benda di hujung jari.

“Saya yakin segala usaha MB Johor ini bukan ingin mengaibkan mana-mana pihak. Malah jika pentadbiran di CIQ baik dan lancar, rakyat juga akan menghargai jasa serta komitmen penjawat awam. Bukankah itu memberi impak yang baik terhadap perkhidmatan awam negara?” soalnya.

Pada Khamis media melaporkan CUEPACS menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam perlu dibuat secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin untuk mengelak timbul situasi sehingga tidak menggambarkan situasi sebenar.

Merujuk teguran Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi kepada Jabatan Imigresen, beliau berkata kakitangan di Tambak Johor telah bertungkus-lumus menguruskan kemasukan rakyat Malaysia ke Singapura dan perjalanan sebaliknya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.