Kebebasan Bersuara Tidak Boleh Disalah Guna, Fariz Kecam Tindakan Hina Sultan Selangor

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail mengecam keras tindakan hina Sultan Selangor yang dilakukan oleh seorang individu yang bernama Ganesparan Nadaraja.

Tegasnya, kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian atau menghina agama.

Beliau berkata demikian berikutan suspek tersebut difahamkan telah melarikan diri ke luar negara sejak November 2017 dan turut dikehendaki atas tiga kes lain yang berkaitan dengan ugutan dan hasutan.

“Tindakan suspek ini adalah suatu penghinaan yang tidak dapat diterima, terutama terhadap Islam dan Institusi Kesultanan.

“Beliau menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera dalam menangkap suspek ini tanpa mengira kedudukan atau statusnya. 

“Kes ini betapa pentingnya keselamatan dan keamanan negara serta menjaga kesopanan dan martabat institusi-institusi utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang tersebut menegaskan bahawa tiada tempat bagi individu yang melanggar undang-undang dan melecehkan kepercayaan masyarakat.

“Tindakan tegas harus diambil untuk memastikan keadilan dan ketenteraman awam dijaga. Kita sebagai rakyat Malaysia harus bersatu padu dalam menentang segala bentuk penghinaan terhadap simbol-simbol kebanggaan negara, termasuklah institusi kesultanan.

“Kerajaan dan masyarakat tidak boleh memberi ruang kepada manusia durjana yang cuba mencabuli keamanan negara dan melecehkan nilai-nilai yang dihormati oleh rakyat Malaysia. Tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk memastikan suspek ini dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal,” jelas beliau.

Seterusnya beliau turut menyeru kepada semua pihak untuk bersatu dalam menegakkan keadilan dan menjaga keharmonian serta keselamatan negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.