UMNO Labuan Terus Perjuangkan Rakyat Demi Manfaat Pembangunan Lebih Baik

LABUAN, 28 Mac – Pembangunan kawasan setempat mampu memberi keselesaan kepada rakyat lantas ia sentiasa menjadi agenda perjuangan UMNO dalam memastikan ruang dan peluang yang lebih baik dapat dinikmati secara holistik.

Dalam hal ini, Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lantaran cakna dengan keperluan masyarakat setempat dalam kunjungannya baru-baru ini.

Kata Mohd Rafi, pertemuan secara langsung dengan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah membolehkan beliau menyuarakan beberapa isu dan permasalahan berkaitan rakyat Labuan.

“Walaupun sewaktu ucapan YAB Datuk Seri Zahid Hamidi di Program Santunan Ramadan di Sungai Bedaun, beliau hanya mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk jalan pembangunan desa dan RM500,000 untuk projek ameniti sosial bagi tahun 2024 untuk Wilayah Persekutuan Labuan, tetapi alhamdulillah ada tambahan lain.

“Sewaktu pertemuan dengan kepimpinan UMNO Labuan saya telah bersuara dan perjuangkan beberapa perkara tentang isu dan permasalahan rakyat Labuan, maka beliau telah bersetuju untuk memberi tambahan peruntukan membina jalan kampung dan program ameniti sosial Sebanyak RM5 juta lagi menjadikan keseluruhan RM6.5 juta,” katanya.

Sehubungan itu, beliau bertekad akan memanfaatkan bantuan yang diberi bagi memastikan pelbagai masalah rakyat Labuan dapat diatasi.

“Semoga peruntukan yang besar ini dapat menyelesaikan banyak jalan-jalan kampung dan perkara-perkara lain di bawah program ameniti sosial seperti pagar masjid, pagar tanah perkuburan, longkang dan berbagai-bagai lagi,” katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Terdahulu, Ahmad Zahid telah meneruskan Jelajah Santunan Kasih Ramadan di Labuan dengan menyantuni pemimpin dan masyarakat Labuan di Masjid Al-Sultan Abdullah, Kampung Sungai Bedaun.

Program ini telah menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan yang meraikan Ahmad Zahid bertandang ke Pulau Labuan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.