UMNO Lahad Datu Suarakan Isu Rakyat, Mahukan Bantuan Seperti BN Pernah Buat

LAHAD DATU, 27 Mac – Satu demi satu keperluan rakyat gagal dipenuhi oleh kerajaan Negeri Sabah yang ditadbir oleh GRS sehinggakan pelbagai keluhan disalurkan kepada pimpinan politik dalam UMNO/Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, parti terbabit menjadi suara kepada masyarakat lantaran pelbagai keperluan asas tidak dipenuhi oleh kerajaan negeri hinggakan rakyat berada dalam keperitan.

Katanya, dalam keadaan yang serba kekurangan hari ini, rakyat mula merindukan suasana pentadbiran zaman BN apabila kepimpinannya cakna dan mendengar rintihan masyarakat.

“UMNO Sabah cukup terkesan akibat keluhan rakyat kerana hari ini kita berdepan dengan hal-hal berkaitan kekurangan keperluan asas misalnya soal air tidak ada, bekalan elektrik, jalan raya yang cukup daif dan soal keselamatan akibat ancaman buaya di Lahad Datu.

“Sejak 1994 UMNO memerintah di Sabah, tidak timbul soal keluahan rakyat ini kerana UMNO/BN cukup menjaga soal air rakyat, elektrik rakyat, jalan raya rakyat dan keselamatan rakyat, BN pernah buat, beri bantuan kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, rata-rata masyarakat setempat inginkan perubahan dan menuntut kehidupan yang lebih baik iaitu pelbagai kemudahan dan bantuan disalurkan oleh pihak bertanggungjawab.

“Ada yang mengadu dan maklumkan bahawa kerajaan BN dulu bukan hanya keperluan asas yang cukup malah segala permintaan rakyat dipenuhi. Dulu minta enjin sangkut, mesin jahit, tangki air biru, perahu, pukat, kereta sorong, tandas biru, atap rumah, dan lain-lain lagi yang setiap bulan akan disalurkan kepada rakyat.”

Lantaran itu katanya, rakyat mahukan pembelaan dengan harapan sekarang adalah tergalas di bahu kepimpinan UMNO/BN untuk mengembalikan keselesaan dan keceriaan kepada semua.

Terdahulu, Sharif Musa telah bersama-sama Pengerusi BN Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah Zon 6 yang melibatkan bahagian Lahad Datu, Kalabakan, Tawau dan Semporna di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, baru-baru ini.

Dalam hal ini beliau melahirkan kesyukuran kerana Lahad Datu menjadi tuan rumah dan menyantuni masyarakat pelbagai lapisan untuk sama-sama berbuka puasa.

“Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah kerana dengan izin-Nya Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan bagi golongan asnaf dan anak yatim bagi UMNO Bahagian Zon 6 telah berjalan dengan lancar.

“Kehadiran yang amat menggalakkan tanda sokongan kepada kepimpinan UMNO untuk terus bersatu hati dengan rakyat sebagaimana UMNO/BN sentiasa berusaha melaksanakan khidmat bakti demi agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.