Malaysia Pengerusi ASEAN 2025… Azalina Harap Semua Pihak Gembleng Tenaga, Tempa Kecemerlangan

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berharap agar semua pihak menggembleng tenaga supaya Malaysia dapat menempa kecemerlangan sepanjang menjadi Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun hadapan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO telah menghadiri Mesyuarat Majlis Menteri-menteri yang diadakan untuk membincangkan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan bagi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

“Selaras dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, saya telah menghadiri Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri bagi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bil. 1/2024 dan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan bagi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bil. 1/2024, yang diadakan di Wisma Putra, Putrajaya.

“Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ini bertujuan memastikan persiapan untuk Malaysia menjadi tuan rumah bagi ASEAN pada tahun depan, diuruskan dengan baik.

“Saya berharap semua pihak terlibat dapat mengembleng tenaga bersama bagi memastikan kepengerusian Malaysia pada tahun depan menempa pelbagai kecemerlangan sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, beliau turut menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Diraja Bukit Aman.

“Saya turut menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bil. 1 Tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi ini, merupakan mesyuarat berkala yang melibatkan silang kementerian bagi memastikan pelaksanaan dasar membanteras gejala dadah negara tidak dilaksanakan secara silo.

“Jawatankuasa kabinet ini bertanggungjawab bagi menetapkan dasar, tindakan, strategi pencegahan, perundangan dan penguatkuasaan bagi menangani masalah dadah dinamik dan selari. Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Dalam mesyuarat tersebut, saya menghargai dan amat bersetuju dengan pandangan jauh Timbalan Perdana Menteri tentang keperluan menggunakan pendekatan ‘out of the box’ dalam merangka strategi pencegahan, pemulihan dan komunikasi kreatif serta lebih berkesan dalam menangani isu ini dalam keadaan perubahan teknologi begitu cepat lebih-lebih lagi penggunaan meluas Artificial Intelligence (AI),” katanya lagi.

Sebagai persiapan Malaysia untuk mengambil alih kepengerusian ASEAN, tiga kluster utama diwujudkan iaitu politik, pertahanan dan kewarganegaraan di bawah Kementerian Luar; ekonomi serta perdagangan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri manakala budaya dan sosial di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Untuk rekod, Malaysia telah menjadi Pengerusi ASEAN kali terakhir pada 10 tahun lalu iaitu pada 2015. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.