Kerjasama Dengan Parti Lain: Bung Optimis BN Pusat Akan Ambil Keputusan Terbaik Hadapi PRN Sabah Ke-17

LAHAD DATU, 27 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin optimis BN Pusat akan mengambil keputusan yang tepat berhubung soal kerjasama antara UMNO/BN Sabah dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Katanya, ini adalah bagi memastikan BN mencapai kemenangan besar dalam PRN17 nanti.

Dalam hal ini Bung mengakui segala keputusan sama ada BN akan bertanding secara sendirian atau bekerjasama dengan parti lain pada PRN17 hanya akan diputuskan oleh BN Pusat berdasarkan kepada cadangan BN Sabah yang dibuat secara konsensus bersama rakan BN yang lain.

“Setakat ini BN Sabah belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan parti lain.

“Walau bagaimanapun perbincangan awal memang ada diadakan dan akan kita akan putuskan pada masa yang sesuai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah Zon 6 yang melibatkan bahagian Lahad Datu, Kalabakan, Tawau dan Semporna di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, baru-baru ini.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Mohamad Hassan yang menyebut sebarang keputusan untuk BN bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17 akan diputuskan oleh BN Pusat.

Menurut Bung masih terlalu awal bagi BN Sabah menyatakan soal kerjasama bersama parti lain, malah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah menyebut soal kerjasama BN bersama parti lain bagi menghadapi PRN Sabah ke-17 hanya akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bubar.

Bung berkata dalam soal memilih rakan gabungan dari parti lain bagi menghadapi PRN kali ini, UMNO/BN Sabah perlu lebih teliti dan berhati-hari malah hanya akan bekerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian antara satu sama lain

Katanya, proses gabungan dengan parti lain sebelum ini telah mengajar UMNO/BN Sabah untuk menjadi matang dalam menjalin kerjasama dengan parti lain di negeri ini.

“Kita akan bekerjasama dengan parti politik yang menghormati perjanjian satu sama lain dan memberi manfaat kepada UMNO/BN dan Sabah,” katanya.

Bung juga menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan parti dalam gabungan sebelum ini yang dari peringkat awal lagi telah menipu dari soal pemilihan kawasan dan calon semasa PRN16 malah turut menipu dalam pembentukan kabinet sebaik sahaja kerajaan dibentuk dalam gabungan tersebut.

“Dari awal lagi UMNO/BN Sabah sudah ditipu, kita telah putuskan meletakkan calon di kawasan yang dipersetujui untuk calon BN, mereka pula letakkan calon bebas mencabar calon BN… lebih dari itu turut berkempen dan turut memberikan habuan kepada pengundi demi untuk memastikan calon BN tewas, jadi parti seperti ini tidak ada dalam kamus BN Sabah untuk menjalin kerjasama,” tegas Bung.

Bung berkata dalam soal kerjasama bersama parti lain menghadapi PRN17 kali ini BN akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan dan keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat.

“Kita tidak mahu lagi ada krisis dalaman yang mengganggu usaha membangunkan Sabah yang kini jauh ketinggalan dalam segala aspek kemajuan terutama isu yang semakin membelenggu rakyat ketika ini iaitu infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan isu ekonomi.

“Apa yang kita buat hari ini adalah memperkukuhkan semua jentera parti. Kumpul isu-isu dan maklumat yang akan diguna pakai semasa kempen pilihan raya nanti,” katanya.

Menurut beliau dalam siri jelajah yang dilaksanakan oleh UMNO Sabah di beberapa bahagian dan DUN, didapati sambutan luar biasa bukan sahaja dari ahli UMNO tetapi juga dari masyarakat umum.

“Ini menunjukkan tahap sokongan yang tinggi kepada UMNO/BN kerana rakyat Sabah kini mula tertekan dengan masalah yang berpanjangan terutama dalam isu berkaitan keperluan asas dan ingin melakukan perubahan pada PRN17 akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.