Isu Kedah Agro: Salahkan Kerajaan Terdahulu Tidak Logik – Syed Mohd Johan

ALOR SETAR, 27 Mac – Tindakan Ketua Penerangan Pas, Salim Muhammad menyalahkan kerajaan negeri yang terdahulu akibat kerugian syarikat Kedah Agro dilihat tidak logik, kata Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Tegasnya, Ketua Penerangan Pas perlu meneliti trek rekod Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang terbukti mempunyai berpuluh projek gagal.

“Saya terbaca respons balas Ketua Penerangan Pas, Salim Muhammad mengenai isu gaji 24 orang pekerja Kedah Agro yang tidak dibayar. Katanya, itu sebab syarikat tidak untung dan ini semua salah kerajaan negeri tujuh hingga lapan tahun lepas.

“Inilah kenyataan ‘lempar batu, sembunyi tangan’. Pelik atau tidak, takkan selepas tujuh tahun dan sudah pertukaran beberapa menteri besar, tahun lepas baru kita putuskan syarikat Kedah Agro ini rugi sejak 2017, kita kena tutup 2024? Tidak logik bukan situasi ini?

“… dan kalau kita hendak salahkan kerajaan terdahulu, kenapa Ketua Penerangan Pas Kedah tidak melihat sendiri trek rekod Menteri Besar Kedah itu tersendiri? Berapa banyak projek gagal bawah Sanusi? Dalam berpuluh projek gagal bawah Sanusi, mereka masih nak kata semua salah orang lain, bukan kelemahan Sanusi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar turut merasa kecewa apabila kerajaan Negeri Kedah menganggap teguran supaya membayar gaji pekerja Kedah Agro tersebut dianggap sebagai satu ‘political move’.

“Projek Kedah Rubber City (KRC), Langkasuka Widad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), gaji pemain bola tidak dibayar, stadium, litar lumba… semua ini gagal. Di saat menghadapi segala kegagalan ini, masih nak kata Sanusi tidak gagal dan berjaya? Logik apakah ini?

“Analoginya mudah. Kalau seorang pelajar gagal Matematik, mungkin itu salah cikgu Matematik tidak pandai mengajar. Tetapi kalau pelajar itu gagal semua subjek di saat pelajar lain boleh lulus malah ada berjaya, takkan masih bukan salah pelajar tersebut? Tepuk dada tanya hati, tanya akal fikiran.

“Kemudian, saya agak kecewa bila kerajaan negeri menganggap teguran dan desakan kami untuk mereka membayar gaji pekerja adalah sebuah ‘political move’, sampai mereka tidak mahu tunduk dan tidak mahu bayar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan Sanusi agar tidak malu untuk mengaku kesalahan dan melakukan penambahbaikan bagi menjaga kebajikan rakyat Negeri Kedah.

“Kami hanya mahukan keadilan buat 24 pekerja tersebut meskipun bagi Sanusi mereka adalah lintah darat. Sebab di mata rakyat sekarang, Sanusi lebih lintah, sudah suruh buat kerja, tetapi tidak mahu bayar gaji. Siap hina lagi secara umum. Malu saya melihatnya.

“Oleh itu, nasihat saya kepada Sanusi, tidak salah pun mengaku salah. Tidak salah pun kalau mengaku diri itu ada kelemahan, sebab kita manusia biasa. Cuma kena cuba untuk majukan diri. Nasihat saya kepada pengundi Pas, sudah-sudah lah mahu menteri besar ‘sempoi’ tetapi rakyat tidak dijaga,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.