Prihatin Isu Kemiskinan Rakyat… Mohd Shahar Dapatkan Penjelasan Dalam Parlimen

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Keprihatinan dalam isu kemiskinan rakyat mendorong Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah untuk bertanya kepada Menteri Ekonomi berkenaan kaedah kerajaan dalam membantu golongan ini.

Beliau bertanya berkenaan sejauh mana langkah kerajaan dalam membangunkan kawasan yang diduduki rakyat berpendapatan rendah?

“Saya nak minta pandangan dari segi polisi ekonomi. Adakah kita perlu membawa orang miskin ke tempat yang ada pembangunan atau membawa pembangunan kepada kawasan yang perlu kita bantu?” katanya.

Mohd Shahar yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar bertanya demikian kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Rafizi ketika menjawab berkata konsep pendekatan pentadbiran yang dilakukan kerajaan memfokus untuk aktiviti penjanaan ekonomi di kawasan golongan berpendapatan rendah.

Namun kata beliau, tidak semua daripada mereka berada di tempat yang sama.

“Kalau contohnya, sebab itu pelaksanaan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) terutamanya Inisiatif Usahawan Tani (Intan) ia hanya boleh dibuat di kawasan yang berpendudukan cukup yang penerima dan dia ada tanah untuk melaksanakan pertanian bersepadu.

“Yang ini memang kita cuba bawa kepada mereka supaya mereka boleh bekerja sebaik bukan bekerja di kilang tetapi bekerja di tempat pertanian bersepadu,” ujar beliau.

MenurutRafizi lagi, Kementerian Ekonomi juga menyemak profil miskin tegar yang ada dan rekod menyatakan tidak sampai 40 peratus berada dalam kategori itu manakala 60 peratus duduk jauh ataupun mereka tidak ada keupayaan dan tidak tinggal berkelompok.

“Kalaupun ada dia nak menyertai aktiviti sekelompok begitu, dia kena belanja lebih jauh jadi nak tak nak kita masih lagi juga mencari jalan untuk memberi bantuan yang dipetakan kepada profil di situ

“Sebab itu sebahagian juga daripada belanja untuk membasmi kemiskinan termasuklah juga kepada infrastruktur-infrastruktur asas, jalan-jalan kecil, menghubungkan kawasan-kawasan kampung

“Kerana dia juga berkaitan dengan kesaling terhubungan infrastruktur kalau tidak, mereka akan terus terpisah daripada kegiatan ekonomi yang menasabah dan mampat untuk menjana pendapatan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.