Penubuhan Suruhanjaya Beri Manfaat Besar Kepada Penggiat Industri Gig

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) untuk mengawal selia industri Gig diyakini dapat membawa manfaat yang amat signifikan bagi penggiat Gig seluruh negara apabila perlaksanaannya berjalan lancar kelak.

Setiausaha Sekretariat NGO dan Kesatuan Sekerja UMNO Malaysia, Asuma Beevi Mohamed Sali berkata pelbagai manfaat akan dapat dirasai kelak antara lain perlindungan yang lebih baik untuk penggiat industri berkenaan.

Menurut beliau dengan adanya regulasi yang jelas, penggiat Gig dapat menikmati perlindungan kerja yang lebih baik termasuk SoP yang jelas mengenai pendapatan, jam kerja dan hak atas cuti serta insurans.

“Kestabilan Pendapatan… Suruhanjaya ini dapat menetapkan standard minimum untuk pendapatan dan keuntungan bagi penggiat, yang membantu mereka mendapatkan pendapatan yang lebih stabil dan adil.

“Kualiti Perkhidmatan… penetapan standard perkhidmatan dapat meningkatkan kualiti layanan kepada pelanggan, secara tidak langsung meningkatkan kepercayaan dan kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan industri ini.

“Mediasi konflik… Suruhanjaya dapat bertindak sebagai mediator dalam konflik antara penggiat dan syarikat hailing, atau antara penggiat dan pelanggan, menawarkan resolusi yang lebih cepat dan adil. Begitu juga pengembangan profesional. Dengan adanya struktur polisi yang jelas, penggiat Gig berpeluang untuk pengembangan profesional, termasuk akses ke latihan-latihan yang meningkatkan kemahiran mereka,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah Asuma lagi, begitu juga soal keselamatan iaitu dengan adanya Suruhanjaya berkenaan penekanan kepada aspek keselamatan dapat ditingkatkan baik untuk penggiat ataupun kepada pelanggan.

“Melalui polisi yang tegas dan pemantauan terhadap kondisi kenderaan contohnya, peratus kemalangan yang tinggi dapat dikawal. Begitu juga soal kelangsungan industri. Peraturan yang terperinci dan seimbang dapat membantu kelangsungan industri hailing, memastikan ia dapat berkembang tanpa merugikan industri lain.

“Manfaat-manfaat ini hanya dapat direalisasikan jika Suruhanjaya tersebut mampu bekerja secara efektif dan efisien, serta mendapat sokongan daripada semua pihak terlibat termasuk penggiat, syarikat hailing, pelanggan dan dasar kerajaan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.