Azalina Terima Kunjungan Hormat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia, Bincang Aspek Reformasi Institusi

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah menerima kunjungan hormat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Integriti, Governans dan Anti Rasuah dan kumpulan masyarakat sivil di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Integriti, Governans dan Anti Rasuah telah diwakili oleh Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh merangkap Ahli Parlimen Ledang, manakala kumpulan masyarakat sivil diwakili oleh Tan Sri Syed Hamid Albar, Shah Hakim Zain, Maha Balakrishnan, Dr Muhammad Mohan dan Nurhayati Nordin.

“Perkara-perkara yang dibincangkan merangkumi aspek reformasi institusi yang melibatkan, antara lain, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Perkhidmatan Parlimen, undang-undang kebebasan maklumat dan undang-undang perlindungan kepada pemberi maklumat,” maklumnya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Terdahulu dilaporkan bahawa Kerajaan Perpaduan komited untuk melaksanakan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan integriti institusi perundangan. Ia juga selaras dengan amalan baik negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.