Mohamad Hasan Santuni Orang Rembau, Sampaikan Bantuan Sempena Ramadan

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Sempena kedatangan bulan penuh keberkatan Ramadan, Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan pulang ke kawasan sepertimana rutin beliau sebelum ini meluangkan masa menyantuni masyarakat setempat.

Mohamad memulakan perjalanan beliau dengan memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dilawati beliau.

“Pulang ke kawasan bagi menyampaikan sumbangan dan bantuan bulan Ramadan kepada warga emas, fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim di PDM Mambau, PDM Taman Kelab Tuanku dan PDM Kampung Bemban.

“Kemudiannya terus ke PDM Taman Angsamas, Kampung Nyatuh dan Belangkan, Kampung Kuala Sawah, PDM Kampung Sega dan PDM Kampung Sagga. Semoga sedikit bantuan ini dapat membantu meringankan tanggungan masing-masing, insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau menerusi satu hantaran berbeza turut berkongsi penyertaannya bersama jemaah Masjid Kariah Kundur Hilir, Pedas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong untuk berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib dan kemudiannya ke Masjid Kariah Kundur Tengah bagi menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama para jemaah.

“Alhamdulillah semalam berkesempatan untuk berbuka puasa di DUN Chembong bertempat di Masjid Kariah Kundur Hilir, Pedas. Sebelum berbuka, sempat menyampaikan sumbangan kepada masjid-masjid dan surau-surau dalam DUN Chembong.

“Moga sumbangan ini dapat membantu semua masjid dan surau dalam dalam menyediakan juadah berbuka dan jamuan moreh sepanjang bulan Ramadan ini. Insya-Allah.

“Selepas selesai berbuka dan menunaikan solat Maghrib bersama jemaah di Masjid Kundur Hilir, saya ke Masjid Kariah Kundur Tengah pula bagi menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama para jemaah,” ujar beliau.

Mohamad yang juga ADUN Rantau juga tidak melepaskan peluang untuk memberikan bantuan kepada penduduk setempat di Rantau bagi meringankan beban mereka sempena bulan Ramadan ini dan Syawal yang menjelang tiba.

“Menyampaikan sumbangan dan bantuan bulan Ramadan lagi hari ini kepada warga emas, fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim di PDM Rantau, PDM Bandar Ekar, PDM Kampung Ulu Lalang, Kampung Kanchung, Kampung Tanjung, PDM Kampung Linsum dan PDM Kampung Seliau,” katanya.

Pada sebelah petangnya pula, beliau ke empat lokasi berbaki iaitu PDM Sendayan 01 dan PDM Sendayan 02 iaitu di Dewan Bengkel Sri Sembilan, Surau As-Syakirin Taman Sendayan Indah, Dewan Ibnu Sina SK Bandar Sri Sendayan dan Dewan Orang Ramai Kampung Sendayan.

Beliau kemudiannya berbuka puasa di Masjid Kariah Seberang Paya, Kampung Batang Nyamor di DUN Kota, kesempatan itu dimanfaatkan beliau untuk memberi sumbangan kepada 24 masjid dan 80 surau dalam DUN Kota telah disampaikan sebelum majlis berbuka bermula,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.