Akta Parlimen Berpenggal Tetap Wajar Digubal Untuk  Kestabilan Politik Negara – Senator Noraini

KOTA KINABALU, 25 Mac – Cadangan agar Akta Parlimen Berpenggal Tetap digubal bukan sahaja dilihat sebagai satu cadangan positif malah merupakan langkah yang sepatutnya dilaksanakan dalam usaha mengekalkan kestabilan negara demi kepentingan rakyat.

Ketua Wanita UMNO Penampang, Senator Datuk Norani Idris berkata walau pun cadangan tersebut masih di peringkat kajian terperinci sebelum dibentangkan di Parlimen, semua pihak perlu melihat cadangan berkenaan bertujuan untuk mengekalkan jangka hayat Dewan Rakyat bagi memastikan kestabilan politik  sesebuah kerajaan yang mentadbir negara.

“Cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap adalah untuk menentukan bahawa tempoh hayat kerajaan akan kukuh hingga lima tahun. Dalam keadaan yang sama kestabilan politik dalam blok kerajaan dengan jumlah sokongan mencukupi sehingga lima tahun perlu ada.

“Pada masa yang sama tujuan Akta Parlimen Berpenggal ini bukan untuk mengatasi ahli Dewan Rakyat ‘cross the floor’ tapi ianya lebih untuk mengekalkan penggal Parlimen dan menghadkan kuasa Perdana Menteri membubarkan Parlimen,” katanya.

Pada masa yang sama Noraini turut melihat Akta Parlimen Berpenggal Tetap bukanlah langkah terdesak untuk mengekalkan kerajaan hari ini sebaliknya  sebagai menghormati mandat pilihanraya dan proses demokrasi bagi  memastikan kestabilan politik.

“Jika ada usaha daripada mana-mana pihak yang mahu menggulingkan kerajaan tidak mengikut saluran demokrasi dan pilihanraya sudah tentu akan mewujudkan ketidakstabilan politik negara dan ini sekaligus akan merencatkan  segala perancangan pembangunan, ekonomi dan kestabilan politik” jelas Noraini.

“Terdapat banyak negara yang mengamalkan Akta seumpama ini tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara. Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.