Stoking Kalimah Allah: Penghinaan Kepada Islam Sebagai Agama Persekutuan – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Penjualan stoking yang tertera kalimah Allah SWT merupakan satu penghinaan kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata sememangnya wajar umat Islam di negara sebagai penganut untuk marah dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini.

“Polemik isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) di Bandar Sunway Piramid, Petaling Jaya, telah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Ianya merupakan satu penghinaan kepada agama Persekutuan, terutamanya bagi kami yang menganutinya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Wan Rosdy dalam pada itu berharap tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak berkuasa terhadap pembekal stoking tersebut sebelum perkara tidak diingini berlaku.

Katanya ini kerana isu tersebut sudah mula membabitkan bibit-bibit perkauman.

“Laporan polis telah mula digerakkan oleh Pemuda UMNO Malaysia dan diikuti beberapa NGO lain.

“Saya memohon agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi memastikan dalang disebalik kejadian ini menerima hukuman.

“Dalam pada itu, isu ini juga sudah mula menerbitkan bibit-bibit perbalahan antara kaum. Justeru adalah wajar isu ini diselesaikan segera sebelum ianya melarat menjadi sesuatu yang lebih buruk.

“Untuk itu, saya mengharapkan seluruh rakyat di negara ini agar dapat menjaga sensitiviti kaum dan agama bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan dapat terus dikekalkan,” ujar beliau.

Terdahulu tular di media sosial berhubung stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di KK Mart.

Perkara tersebut menimbulkan perbalahan sehinggakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa rakyat Malaysia untuk memboikot KK Mart di seluruh negara sekiranya tiada permohonan maaf secara bertulis dibuat di semua 881 cawangannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.