PRN17 Sabah: UMNO Perlu Bangkit Tebus Maruah – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 20 Mac – UMNO Sabah perlu bangkit dan menebus semula maruah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang untuk mengambil alih semula kerusi yang hilang dari pemimpin UMNO sebelum ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kawasan yang sebelum ini diwakili pemimpin terlibat merupakan kawasan UMNO apabila parti dan pucuk pimpinan telah meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, menurut Bung oleh kerana mengejar kuasa dan kedudukan maka mereka sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan kesetiaan dengan meninggalkan parti tanpa restu dari penyokong di kawasan masing-masing.

“Mereka bertanding atas tiket UMNO, menang kerana sokongan jentera parti UMNO, mereka gadaikan prinsip perjuangan, maka pada PRN17 akan datang kita perlu bangkit mengambil alih kerusi yang mereka bawa melompat ke parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar UMNO Sabah Zon 1 yang merangkumi bahagian Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Tuaran yang diadakan di sini baru-baru ini.

Bung yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, pada PRN17 akan datang, kawasan yang mereka wakili ketika ini atas nama UMNO perlu dikuasai semula oleh UMNO.

“Untuk menguasai semula Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan kita perlu bekerja dalam satu pasukan. Kejayaan tidak akan dicapai tanpa dukungan rakan-rakan yang terdiri daripada sayap-sayap di bawah UMNO dan BN.

“Justeru semangat tanpa usaha, kesungguhan, kerja keras serta strategi yang tersusun dari jentera parti tidak akan membuahkan hasil sebagaimana yang kita harap-harapkan,” katanya.

Beliau berkata kemenangan UMNO di Kota Belud adalah penting memandangkan UMNO Sabah lahir di Kota Belud dan kawasan ini adalah kubu kuat parti yang sebelum ini menguasai dua DUN iaitu Usukan dan Tempasuk.

“DUN Usukan kita pertahankan, DUN Tempasuk kita rampas semula, malah kita tidak menolak kemungkinan akan meletakkan calon UMNO di DUN Pintasan sekiranya ada calon yang sesuai pada PRN17 akan datang atau kita akan menyokong parti lain yang akan bergabung dengan UMNO/BN bagi memastikan kawasan ini akan kita tawan pada PRN kali ini,” katanya.

Selain itu, Bung turut mengingatkan agar semua jentera parti perlu bergerak dari sekarang dengan ketua-ketua cawangan mengenal pasti jumlah ahli parti yang ada di kawasan masing-masing.

“Kita perlu membuat pembersihan terhadap senarai ahli parti, yang telah berhijrah kita biarkan mereka pergi, kita hanya perlu ahli yang berkualiti dan mempunyai prinsip perjuangan.

“Yakinlah dengan isu yang semakin membelenggu kehidupan rakyat ketika ini, terutamanya dari segi keperluan infrastruktur asas, jalan raya, air, belakan elektrik dan keadaan ekonomi yang semakin menekan, rakyat akan bersama kembali dalam perjuangan UMNO/BN untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hasaan dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan; Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Ismarah Madcasar dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kudat, Murtazah Amirdad – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.