Penjualan Stoking Tertera Kalimah Allah, Jadikan Pengajaran Jangan Ulang Kesilapan – Ahmad Zahid

SUNGKAI, 20 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah tidak harus dipandang ringan dan semua pihak perlu ambil iktibar.

Menurut beliau ianya seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengingatkan seluruh lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara.

“Kita menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong dan saya juga dapat maklum balas  pelbagai pihak termasuklah parti politik rakan-rakan dan lawan yang merasakan ini adalah satu perkara yang terkelas dalam 3R (agama, institusi diraja dan kaum).

“Isu-isu ini jangan dipandang ringan. Walaupun pihak KK Mart telah memohon maaf dan ini bukan hanya isu agama, kaum… tapi satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersama warga FELDA di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri seterusnya berharap perkara seumpama ini tidak akan berlaku lagi dan mana-mana supermarket atau hypermaket yang ada di seluruh negara belajar daripada apa yang dihadapi.

“Kita tidak mahu ada yang mengambil ringan apatah lagi yang mengambil kesempatan dan kita mesti selesaikan segera masalah ini agar ianya tidak disalahtafsir, tidak ditunggangi oleh mereka yang mempunyai kepentingan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.