MOF Benarkan Agensi Punyai Pangkalan Data Sendiri – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata berdasarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Akta 520 syarikat kontraktor yang menjalankan atau menyiapkan mana-mana kerja pembinaan perlulah memiliki perakuan pendaftaran yang sah yang dikeluarkan agensi ini.

Katanya, berdasarkan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) maka ia membenarkan pangkalan data kontraktor sedia ada digunakan bagi pelaksanaan projek tahun 2024 di samping Kementerian boleh mempelawa dan menilai kontraktor baharu untuk menambah bilangan kontraktor dalam pangkalan data tersebut.

“MOF turut membenarkan agensi mempunyai pangkalan data sendiri berdasarkan senarai kontraktor yang berjaya pada peringkat pra kelayakan terpilih termasuk rekod syarikat yang pernah menyertai dan lulus penilaian tender bagi memastikan syarikat yang layak dapat menyertai pelawaan tender.

“Bagi mana-mana syarikat kontraktor yang telah berdaftar dengan CIDB dan berhasrat untuk menyertai tender kerajaan, perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh agensi yang mengeluarkan tender.

“Manakala, syarat pra-kelayakan pula adalah tertakluk kepada pekeliling perbendaharaan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia PK 2.3: tender terbuka pra kelayakan.”

Jelasnya, agensi boleh menggunapakai kaedah tender terbuka pra-kelayakan dalam melaksanakan perolehan termasuk juga perolehan yang tertakluk kepada Perjanjian FTA.

“Perolehan bekalan, perkhidmatan bukan perunding dan kerja yang melibatkan perbelanjaan melebihi RM500 ribu setahun atau satu kontrak boleh dipelawa secara tender terbuka pra kelayakan berdasarkan Perancangan Perolehan Tahunan yang disediakan oleh agensi,” katanya.

Ahmad Maslan berkata demikian ketika pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab persoalan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan adakah Kerajaan tidak bercadang untuk menyemak dan menawarkan pendaftaran baru Kontraktor CIDB Gred G7 untuk disenaraikan sebagai kontraktor memenuhi syarat pra- kelayakan bagi menggantikan kontraktor yang telah berstatus pra-kelayakan yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan perolehan yang boleh dilaksanakan secara tender terbuka pra kelayakan adalah bekalan, perkhidmatan dan kerja yang memerlukan tapisan awal dengan kriteria tertentu bagi mendapatkan syarikat/pembekal/kontraktor yang benar-benar kompeten dan berwibawa.

“Tender terbuka pra kelayakan hendaklah dipelawa di kalangan syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan/CIDB. Tawaran yang diterima hendaklah dinilai dan disenarai pendek untuk pelawaan mengikut peringkat yang ditetapkan.

“Agensi hendaklah mempelawa di kalangan pembuat sahaja dan jika tidak terdapat pembuat, agensi boleh mempelawa di kalangan pembekal. Tender terbuka pra kelayakan di kalangan pembuat tidak boleh dipelawa bersekali dengan pembekal,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.