Stoking Kalimah Allah: Takkanlah Masih Dungu Islam Sebagai Agama Persekutuan? – Manndzri

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berharap kerajaan untuk bertegas dalam memantau produk atau perkhidmatan bukan hanya produk yang dijual di negara ini tetapi juga produk yang dieksport ke luar negara.

Katanya ia sebagai usaha bagi memastikan agama Islam, keharmonian hidup beragama dan perpaduan tidak diancam seperti dilakukan oleh kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) yang menjual stoking dengan kalimah Allah SWT.

“Sikap Kedai KK yang tidak teliti hingga menjual stoking berkenaan dan kilang pengeluarannya di Batu Pahat, Syarikat Xin Jiang Chang amat-amat tidak boleh diterima langsung dalam negara menginjak usia kemerdekaan hampir 70 tahun.

“Takkanlah masih dungu perihal Islam sebagai Persekutuan dan hemat-hemat hidup bernegara sebagaimana digaris dalam Rukun Negara? Takkanlah ‘lampi’ sangat hingga tidak sensitif bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, agama bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, agama Yang di-Pertuan Agong, Islam, Sunnah Wal Jamaah, Mazhab Shafiee, Aliran As-Shariah dan al-Maturidiah.

“Ia dipaku, dimateri dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri. Kita sama-sama jaga dan sama-sama hormat,” katanya pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Anggaran Perbelanjaan Tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara berkata, pelaksanaan dan tindakan tegas sehingga pembatalan lesen, senarai hitam dan tutup operasi perlu dilakukan bagi memberi pengajaran.

“Selepas hari ini, pastikan tiada syarikat ikut jejak langkah tidak peka dan kurang ajar ini iaitu menghina agama Islam dan cetus ketidakharmonian. Undang-undang dan tindakan, menokhtahkan kepandiran ini,” tegas beliau.

Sebelum ini, tular di media sosial berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai runcit terbabit.

Bagaimanapun, KK Mart kemudiannya tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking di satu daripada cawangannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.