Isu Penjualan Stoking Tertera Kalimah Allah Benar-benar Mengguris Perasaan Umat Islam – Azhar

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Isu membabitkan penjualan stoking yang tertera kalimah Allah benar-benar mengguris perasaan umat Islam, kata Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad.

Menurut beliau perbuatan itu seolah-olah tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan negara.

“Islam tidak terancam tetapi kerana perkara-perkara terpencil seperti stocking kalimah Allah, tiba-tiba muncul tentunya ia menyakiti hati orang yang mengamalkan agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara semalam.

Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata tindakan tegas perlu dilakukan bagi menghukum pihak yang bertanggungjawab.

“Individu-individu yang cuba menyakiti hati agama lain ini patut dihukum sekeras-kerasnya mengikut undang-undang yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, prinsip-psinsip Rukun Negara yang kita hormati,” ujar beliau.

Terdahulu tular di media sosial berhubung stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart).

Dalam pada itu, Azhar turut sama menempelak pemimpin politik bukan Islam yang bercakap berkenaan Islam.

“Malangnya akhir-akhir ini ada individu-individu antaranya pemimpin politik yang bercakap di luar konteks Perlembagaan Persekutuan. Contoh hal agama Islam, undang-undang kalau di peringkat negeri-negeri yang tidak beraja atau sultan, Yang di-Pertuan Agong yang menjadi pengerusi agama bagi negeri tersebut.

“Negeri-negeri yang menjadi pengerusi agama adalah sultan-sultan negeri, kalau sudah begitu untuk agama Islam janganlah orang lain bercakap atau mengajar seolah-olah dia lebih faham agama Islam.

“Ini menyebabkan pergolakan kerana yang bercakap itu adalah pemimpin politik yang masih tak faham kedudukan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.