Isu KK Mart: Beri Pengajaran… Teruskan Boikot – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa rakyat untuk meneruskan usaha memboikot kedai rangkaian serbaneka KK Mart yang terpalit dengan kontroversi kerana menjual stoking bertulis kalimah Allah.

Tegasnya, kempen boikot ini diadakan untuk memberi pengajaran keras kepada semua pihak yang sewenang-wenangnya memperlekehkan isu agama dan bangsa.

“Kekal tenang dan teruskan memboikot! Lagi kuat kamu minta kawan kamu ‘back up’ untuk tidak diboikot, lagi kuat umat Islam akan boikot kamu.

“Teruskan memboikot, kita bagi pengajaran keras kepada semua pihak yang suka-suka nak memperlekehkan isu agama dan bangsa. Ini masa kita semua bersama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, prinsip UMNO jelas mempertahankan Islam, Bumiputera, Raja-raja Melayu dan ia tidak pernah berubah dari dulu sehingga kini.

“Jika kamu kata mempertahankan kalimah Allah ini dengan memboikot KK Mart adalah hasutan. ‘Bring it on bro’. Sedikit pun tidak gentar.

“UMNO ini prinsipnya mempertahankan Islam, Bumiputera dan Raja-raja Melayu. Tidak pernah berubah dari dulu kini dan insya-Allah selamanya. Itulah yang Pemuda UMNO pegang sampai mati,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa satu permohonan maaf tidak cukup untuk menyelesaikan segala-galanya memandangkan ini adalah isu yang serius dan memberi impak besar.

“Untuk kesalahan begitu serius ini, dengan kesan yang begitu besar, takkan pula satu permohonan maaf sudah menyelesaikan segala-galanya. Kalau begitu, kita menyampaikan mesej yang salah dan sangat merbahaya kepada rakyat di negara ini.

“Kita minta boikot kalau benar-benar KK Mart masih sombong dan enggan penuhi tuntutan. Untuk pihak KK Mart, senang sahaja… yang kita mahukan adalah keseriusan mereka memohon maaf, maka, kalau mereka betul-betul insaf dan kesal, buatlah seperti yang dituntut.

“Akhir kata, Pergerakan Pemuda UMNO memegang pesanan Buya Hamka ‘jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan’,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial berkaitan kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai runcit terbabit.

Bagaimanapun, KK Mart kemudiannya tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking di satu daripada cawangannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.