Dua Triti Dimeterai, Kerajaan Tidak Ambil Ringan Hal Libatkan Kedaulatan Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan bahawa kerajaan telah menandatangani sembilan perjanjian persempadanan maritim dengan negara-negara jiran.

Perjanjian terbaharu adalah dua triti persempadanan maritim bersama negara Republik Indonesia, iaitu Triti Antara Malaysia Dengan Republik Indonesia yang berhubungan dengan persempadanan laut wilayah kedua-dua negara di kawasan paling selatan Selat Melaka iaitu Triti Selat Melaka.

Serta Triti Antara Malaysia Dengan Republik Indonesia yang berhubungan dengan persempadanan laut wilayah kedua-dua negara di Laut Sulawesi iaitu Triti Laut Sulawesi.

Menurut beliau kedua-dua triti tersebut telah ditandatangani pada 8 Jun 2023 di Seri Perdana, Putrajaya.

“Ingin saya maklumkan kesemua perjanjian-perjanjian ini atau triti sedang dikuatkuasakan dan dilaksanakan pihak kerajaan.

“Saya tekankan bahawa kerajaan tidak pernah dan tidak akan sesekali mengambil ringan dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan isu kedaulatan malaysia termasuk isu persempadanan maritim Malaysia.

“Kerajaan akan sentiasa memastikan bahawa setiap keputusan yang dibuat dan dipersetujui tidak akan menjejaskan kedaulatan dan kepentingan negara. Kerajaan juga tidak akan berganjak atau berkompromi dalam isu ini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

Dalam pada itu Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis turut memaklumkan bahawa langkah pemeteraian sesebuah perjanjian persempadanan maritim hanya akan dipersetujui setelah mengambil kira elemen-elemen penyelesaian yang dapat dicapai secara bersama dengan sesebuah negara.

“Menggunakan prinsip-prinsip pembatasanan sempadan maritim berdasarkan justifikasi perundangan dan teknikal kukuh bagi menyelesaikan isu pembatasan mariitm.

“Pada masa yang sama bagi menyelesaikan isu persempadanan Malaysia yang tertunggak bersama negara-negara lain, kerajaan akan terus kekal komited dalam melaksanakan rundingan bersama dengan negara yang terlibat ini dengan tujuan untuk menghasilkan penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak.

“Hal ini penting bagi memastikan kedaulatan bukan sahaja negara terjamin, malah hubungan diplomatik antara malaysia dengan negara-negara tersebut juga boleh kekal terpelihara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.