Stoking Tertera Kalimah Allah: Laporan Polis Untuk Siasatan Segera, Jangan Keruhkan Sensitiviti Kaum

 

DUNGUN, 18 Mac – Pemuda UMNO Terengganu telah membuat satu laporan Polis petang semalam berhubung isu stoking yang memaparkan kalimah Allah yang dijual di beberapa kedai rangkaian serbaneka KK Mart.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera memohon pihak yang bertanggungjawab untuk segera meminta maaf kepada umat Islam serta menaikkan kain rentang di kesemua premis KK Mart.

“Pemuda UMNO Terengganu mohon kepada pihak yang bertanggungjawab terutamanya di peringkat pengusaha KK Mart untuk mengambil tindakan segera memohon maaf seperti mana yang disarankan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh supaya setiap KK Mart menaikkan kain rentang mohon maaf kepada umat Islam secara khususnya.

“Saya mohon pihak berkuasa melakukan siasatan segera dan sebab ini Pemuda UMNO Terengganu mengambil sikap untuk terus membuat laporan polis supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terbabit.

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi kita tahu negara ini sudah lama mencapai kemerdekaan dan mempunyai rakyat yang pelbagai kaum serta memahami antara satu sama lain terutamanya yang berkait dengan agama,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tegas beliau, perkara sebegini boleh menggangu-gugat keharmonian yang dikecapi selama ini.

“Sensitiviti ini sebenarnya mengganggu-gugat umat Islam di negara ini tapi dalam masa yang sama juga pada penganut-penganut agama yang lain.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa dan apa jua pegangan, jangan cuba mengganggu-gugat sensitiviti yang telah lama kita rumpunkan sebagai sebuah negara yang makmur dan harmoni,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf.

Sebelum ini, media melaporkan KK Supermart mengeluarkan permohonan maaf atas penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’ tular di media sosial. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.