Stoking Tertera Kalimah Allah: Kecuaian Yang Tidak Seharusnya Berlaku – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menyifatkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah tidak seharusnya berlaku.

Exconya, Firza Syafiqa Mohd Puzi menyifatkan kecuaian yang dilakukan oleh kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) itu sesuatu yang mengecewakan.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merasa amat kecewa dan kesal di atas insiden stokin dengan kalimah Allah SWT yang dijual di kedai KK Mart yang mempunyai ratusan cawangan di seluruh negara.

“Kecuaian ini tidak seharusnya berlaku, dan pihak peniaga perlu lebih berhati- hati pada masa akan datang bagi memastikan produk jualan tidak mempunyai apa- apa tulisan atau simbol keagamaan yang tidak sesuai dan boleh mengganggu gugat keharmonian rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Firza dalam pada itu berkata isu tersebut adalah perkara sensitif yang berbentuk penghinaan kepada institusi keagamaan.

“Isu agama Islam merupakan perkara yang sensitif bagi kaum muslimin dan muslimat di negara ini, dan sebarang bentuk tindakan yang menghina institusi keagamaan ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Sekali lagi Puteri UMNO merakamkan kekesalan dan berharap perkara ini tidak akan berulang lagi dan dijadikan pengajaran yang berguna buat semua pihak,” ujar beliau.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar meminta umat Islam bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menyiasat isu penjualan stokin tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart.

Katanya, polis, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta pihak bertanggungjawab dalam kontroversi itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.