Pemuda UMNO Buat 13 Laporan Polis Terhadap KK Mart Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Sehingga setakat ini Pergerakan Pemuda UMNO telah melakukan 13 laporan polis terhadap kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) yang menjual stoking yang tertera kalimah Allah SWT.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata laporan polis yang dilakukan di setiap negeri itu dilakukan selepas Ketua polis Selangor, Hussein Omar Khan memaklumkan kepada media bahawa polis tidak menerima sebarang laporan mengenai isu membabitkan penjualan stoking tersebut.

“Kalau sebelum ni siasatan polis terhadap kes kalimah Allah di stoking dan dijual di KK Mart tidak boleh dilakukan kerana tiada laporan, maka laporan polis di seluruh Malaysia telah kami lakukan.

“Sehingga semalam sekurang-kurangnya 13 laporan telah dibuat di setiap negeri. Seluruh rakyat Malaysia menunggu apakah hasil siasatan dari laporan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, siasatan itu perlu dilakukan di bawah seksyen 298(A) kanun keseksaan dan wajar diberikan hukuman yang sekerasnya bagi memberi pengajaran kepada pihak yang ingin bermain dengan isu menyentuh isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R).

Dr Akmal dalam pada itu meminta pengikut di Facebooknya untuk berkongsi gambar sekiranya ada cawangan KK Mart yang menaikkan sepanduk permohonan maaf di hadapan kedai mereka.

“Hari ini adalah hari kedua sejak dari desakan kita untuk KK Mart meminta maaf di setiap cawangan mereka di dalam Malaysia.

“Saya nak mohon anda semua cuba ‘check’ KK Mart di kawasan anda ada tak menaikkan kenyataan mohon maaf di kedai mereka? Cuba kongsi di sini.

“Dan kepada mana-mana individu yang nak jadi hero pertahankan isu ini dan minta jangan perbesarkan isu ni shame on u sebab tunduk pada tauke besar!” tegas beliau.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai serbaneka tersebut.

Akmal juga menggesa umat Islam memboikot cawangan KK Mart bagi membantah tindakan kedai itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.