P Ramasamy Seperti ‘Meludah Ke Langit, Jatuh Ke Muka Sendiri’ – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 18 Mac – P Ramasamy seperti ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’ apabila mengeluarkan kenyataan berkaitan ‘pengkhianatan’ kerana dirinya juga mengkhianati parti sendiri selepas tidak tersenarai sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang lalu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Jelas beliau, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga seperti mencipta publisiti murahan dan sepatutnya hanya menikmati alam persaraan.

“Saya berpandangan P Ramasamy lebih baik berdiam diri dan menikmati alam persaraan daripada mengulas mengenai isu pengkhianatan kerana beliau sendiri telah mengkhianati partinya apabila mengumumkan keluar Dap pada 10 Ogos 2023 setelah namanya tidak tersenarai sebagai calon PRN tahun lalu.

“Malah selepas itu, beliau sendiri telah mengumumkan untuk menubuhkan parti baharu iaitu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) pada 27 November 2023.

“Apakah seorang pengkhianat layak untuk berbicara soal pengkhianatan. Saya rasa rakyat boleh menilai sendiri siapa P Ramasamy yang sebenarnya, iaitu kenyataan yang dikeluarkan beliau itu juga ibarat ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.

“Sudah-sudahlah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat semata-mata untuk meraih populariti murahan untuk kepentingan sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, sebaliknya P Ramasamy perlu bersifat matang dengan kerjasama dijalin antara parti-parti untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau ini kerana kerjasama UMNO bersama Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain adalah untuk mewujudkan kestabilan di negara ini seperti mana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mula Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas PRU-15 yang lalu.

“Alhamdulillah, dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan, kita berupaya mewujudkan sebuah politik matang yang meraikan setiap perbezaan bagi memastikan rakyat terus hidup dalam suasana yang harmoni, sejahtera dan makmur,” ujar beliau.

Respon diberikan Wan Rosdy itu susulan kenyataan P Ramasamy yangm menyentuh isu pengkhianatan dalam parti seperti yang telah disuarakan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.