Buka Puasa UMNO: Penyertaan Pelbagai Kaum Anjakan Ke Arah Perkukuhkan Perpaduan – Yakub Khan

KENINGAU, 18 Mac – Keindahan Ramadan dengan pengisian majlis berbuka puasa yang turut disertai oleh masyarakat bukan Islam di Negeri Sabah merupakan anjakan paradigma ke arah memperkukuh perpaduan dan memupuk keharmonian kaum.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Yakub Khan berkata, tradisi UMNO Sabah turun padang dalam program berbuka puasa setiap bulan Ramadan merupakan platfrom terbaik ke arah menyatupadukan rakyat dari pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

“Program berbuka puasa kepimpinan UMNO negeri bersama anggota parti di peringkat bahagian yang kita adakan setiap tahun merupakan acara tradisi malah yang menariknya ia turut dihadiri oleh masyarakat bukan Islam dari pelbagai kaum dan agama. Inilah satu cerminan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 4 yang melibatkan UMNO Bahagian Keningau, Ranau, Tenom dan Pensiangan. Program ini diadakan di kediaman Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nak Zawawi di Taman Fajar Keningau, kelmarin.

Menurut Yakub yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, kehadiran pelbagai kaum dan agama dalam majlis berbuka puasa di Sabah merupakan satu keunikan yang menunjukkan betapa hubungan persaudaraan masyarakat di negeri ini begitu kukuh walaupun berbeza bangsa dan agama.

“Budaya ini perlu kita pertahankan bagi mewujudkan kebersamaan dalam membina sebuah negara bangsa yang aman dan harmoni kerana ini adalah salah satu eleman penting untuk menjana kemajuan dan kemakmuran negara,” katanya.

Pada majlis tersebut Yakub juga turut menyampaikan sumbangan peralatan dari UMNO Bahagian Keningau untuk beberapa buah masjid antaranya karpet, lampu solar dan pendingin hawa.

Hadir sama di majlis tersebut MKT UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hasan; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin; Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idris; Ketua UMNO Bahagian Keningau, Datuk Mohd Nik Nadzri Nik Zawawi; Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raime Unggi; Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Busiau Ampirak; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim; Ketua Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal dan kepimpinan UMNO bahagian serta masyarakat setempat. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.