Stoking Kalimah Allah: Dr Akmal Gesa KK Mart Pasang Kain Rentang Permohonan Maaf Di Semua Cawangan

JASIN, 17 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan mengetuai gerakan memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart di seluruh negara sekiranya tiada permohonan maaf secara bertulis dibuat di semua 881 cawangannya.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, semua premis cawangan KK Mart sudah diminta untuk memasang kain rentang permohonan maaf kepada seluruh umat Islam atas tindakan mereka menjual stoking tertera kalimah Allah dalam tempoh dua hari atau berhadapan dengan kempen boikot sehingga kedai itu ditutup.

“Saya nak beritahu, kempen untuk memboikot sudah bermula sejak semalam apabila satu video saya (dimuat naik) dalam Tiktok yang meminta untuk boikot.

“Saya mengingatkan KK Mart atau mana-mana pihak bahawa kuasa membeli adalah di tangan kita. Jangan sesekali bermain dengan isu sentimen dan sensitiviti 3R (agama, bangsa, institusi diraja),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, beliau juga sudah mengarahkan semua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri membuat laporan polis terhadap penjualan stoking terbabit bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 298 (A) Kanun Keseksaan.

Penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di KK Mart Bandar Sunway, Selangor tular selepas gambar produk diimport dari China itu dimuat naik pengguna di media sosial sejak 13 Mac lalu.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil mengecam tindakan kedai serbaneka terbabit sebelum pengasasnya dan syarikat pembekal membuat sidang media permohonan maaf, semalam.

KK Supermart sebelum ini mengeluarkan permohonan maaf selepas penjualan stoking itu tular di media sosial.

Kedai serbaneka itu dilaporkan sudah menghentikan penjualan produk yang dibuat oleh Miranosock itu.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart Datuk Seri Dr KK Chai dilaporkan berkata, beliau juga berang dengan pembekal stoking berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.