Majlis Peguam Lulus Usul Cabar Keputusan Pengampunan… Mohd Puad Cabar Jawab Penghakiman Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencabar Majlis Peguam Negara menjawab penghakiman Hakim Besar Sabah-Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mengatakan bahawa mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak patut dibebaskan kerana dinafikan perbicaraan adil.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menganggap tidak ada yang mengejutkan apabila Majlis Peguam Negara meluluskan usul mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman Mohd Najib.

“Tidak ada yang mengejutkan bila Majlis Peguam Negara lulus usul mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman Najib.

“Majlis Peguam selamanya berat sebelah, memihak dan main politik. Hingga hari ini mereka bisu apabila Tommy Thomas gugurkan kes rasuah Lim Guan Eng,” katanya.

Menurutnya, mantan Perdana Menteri itu memohon agar pengampunan penuh diberikan kerana 12 hujah tidak mendapat perbicaraan yang adil.

“Najib tidak memohon pengurangan hukuman. Beliau mohon supaya diberi pengampunan penuh atas 12 hujah tidak mendapat perbicaraan adil.

“Saya cabar Majlis Peguam Negara jawab penghakiman Datuk Abdul Rahman Sebli Hakim Besar Sabah-Sarawak. Dia kata Najib patut bebas kerana dinafikan perbicaraan adil,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rengit itu turut beranggapan bahawa usul Majlis Peguam Negara seolah-olah menuduh Lembaga Pengampunan bersikap tidak adil.

“Usul Majlis Peguam Negara seolah-olah menuduh Lembaga Pengampunan tidak adil dan bukan di bawah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

“Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara perlu jawab segera kekeliruan yang dimainkan oleh Majlis Peguam Negara ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.