Kursus Pengukuhan Komunikasi Perhebat Gerak Kerja Media Sosial Dekati Pengundi

REMBAU, 17 Mac – Kursus Pengukuhan Komunikasi yang dilaksana baru-baru ini ternyata mendapat respon yang positif daripada peserta yang hadir.

Dengan pelbagai segmen dilakukan bersama panel-panel berpengalaman, ruangan diskusi dimanfaatkan para peserta bagi menerap segala ilmu yang dikongsi dalam kursus tersebut.

Salah seorang peserta yang ditemui UMNO Online, Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian Batu, Norhazreena Mohamad Hashim berpandangan, kursus sebegini memberi manfaat untuk kepada ketua penerangan baharu sepertinya bagi mengaplikasi kaedah-kaedah berbeza mendekati masyarakat setempat.

“Kursus ini sangat penting terutamanya untuk ketua-ketua penerangan wanita seluruh Malaysia terutama untuk saya yang pertama kali dilantik sebagai ketua penerangan kerana bukan sahaja kita menerima dan mengetahui isu-isu semasa tetapi strategi-strategi bagaimana kita melakukan gerak kerja di akar umbi, terutamanya dari segi propaganda, media sosial, komunikasi dengan masyarakat.

“Macam saya dengar akan ada bengkel-bengkel selepas ini yang memang menjurus kepada Kecerdasan Buatan (AI) yang merupakan perkara yang kita nampak lebih digunakan selepas ini. Kalau dahulu orang cakap penerangan itu bercakap tapi kali ini lebih kepada media baharu,” katanya.

Bercakap berkenaan pengundi di Batu, beliau berkata penggunaan media sosial tidak mendatangkan masalah kerana hampir keseluruhan penduduk di kawasan ini mahir menggunakan media baharu.

“Batu adalah kawasan urban, tidak ada masalah dari segi media sosial jadi di peringkat Wanita bahagian Batu terutama kita akan lebih kepada bengkel-bengkel sedemikian, mungkin Canva orang dah biasa buat tapi mungkin ada yang lebih advance supaya lebih banyak grafik dapat dikeluarkan sendiri oleh ketua-ketua penerangan di peringkat cawangan,” ujar beliau.

Perkara sama dikongsi Ketua Penerangan` Wanita UMNO Bahagian Pekan, Arwisiati Salleh yang memaklumkan akan membawa segala input daripada kursus ini ke bahagian untuk manfaat kepada akar umbi yang lain.

Kata beliau lagi, fokus terhadap penggunakan media sosial akan dilakukan bagi memudahkan Wanita UMNO mendekati pengundi secara keseluruhan.

“Alhamdulillah dua hari kami di sini, program sebegini lebih memantapkan ilmu terutama komunikasi, digital menggunakan media dan rasanya program sebegini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Balik ini nanti insya-Allah melalui ilmu yang dapat kami akan lebihkan mengajar media sosial. Kami akan ajar wanita-wanita akar umbi untuk Tiktok, Facebook, Instagram, Twitter dan sudah pasti mereka akan tahu,” ujar beliau.

Terdahulu, Kursus Pengukuhan Komunikasi yang dilaksana di Rembau itu dilaksana bagi memperkasa gerak kerja Penerangan Wanita UMNO seluruh Malaysia sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

Pelbagai aktiviti pemantapan dilakukan antaranya melibatkan siri-siri perkongsian daripada Penasihat SLR Institute, Datuk Budiman Mohd Zohdi serta Teh Tarik Session Merungkai Polemik Mahkamah Syariah oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mengakhiri kursus ini forum #HitamPutihKelabu: Pengaruh Wanita Membentuk Imej Positif Politik yang menampilkan panel Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; bekas personaliti televisyen, Suryani Megat Deraman dan bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik, Datuk Wan Nurzila Abd Rahman.

Kursus itu juga menyaksikan kehadiran Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat bagi menyambut Hari Wanita Sedunia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.