Ahmad Zahid Hadir Imarah Majlis Santunan Kasih Ramadan Di Terengganu

DUNGUN, 17 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah hadir bagi mengimarahkan Majlis Santunan Kasih sempena bulan Ramadan di Masjid Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah, sebentar tadi.

Kehadiran Ahmad Zahid pada jam 6 petang itu dinanti-nantikan oleh ribuan rakyat yang berhimpun di sini malah hadirin berpeluang untuk beramah mesra dengan beliau.

Dengan kehadiran 2,000 masyarakat setempat yang terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar pusat tahfiz dan asnaf, majlis tersebut disambut dengan sederhana.

Selain bantuan dan iftar bersama warga setempat, Ahmad Zahid turut menunaikan solat Maghrib bersama-sama jemaah.

Para pemimpin UMNO di seluruh negeri Terengganu dan kakitangan kerajaan pelbagai peringkat turut mengambil kesempatan untuk bersama-sama memeriahkan acara tersebut.

Terengganu menjadi lokasi ketiga daripada sembilan negeri bagi Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW.

Program pertama bermula di Johor diikuti Kelantan, Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan, Kedah, Selangor dan akan berakhir di Kompleks Masjid Tuminah, Bagan Datuk, Perak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.