TPM Peruntuk RM 153.2 Juta Khusus Rakyat Kelantan

TANAH MERAH, 16 Mac – Kerajaan memperuntukan sebanyak RM153.2 Juta untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan melibatkan kemudahan awam dan utiliti desa khusus kepada rakyat di Tanah Merah, Kelantan.

Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah Projek Menaiktaraf Jalan ke Kampung Kusial sebanyak RM 42 juta bagi menyelesaikan masalah perhubungan ketika musim tengkujuh di kawasan berkenaan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), untuk tahun 2021 hingga 2025 itu, kerajaan berharap agar rakyat di daerah itu dapat menikmati kemudahan awam dan perkhidmatan utiliti yang lebih baik. Ia dilakukan melalui pembinaan dan menaik taraf jalan perhubungan, tandak air, pemasangan lampu solar serta menaik taraf dewan orang ramai.

“Pelaksanaan semua projek ini bagi mengurangkan jurang infrastruktur di luar bandar di samping memberi impak pembangunan demi meningkatkan kesejahteraan ekonomi serta sosial penduduk setempat, ” katanya.

Datuk Seri Zahid berkata demikian di Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau, di sini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) , Datuk Zawawi Othman dan seluruh jawatankuasa UMNO Negeri Kelantan, bahagian serta kakitangan kerajaan pelbagai peringkat.

Pada majlis itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)
menyerahkan sumbangan berjumlah RM 293,300 untuk 475 masjid dan madrasah di kawasan Kelantan Selatan bagi mengimarahkan masjid serta madrasah sepanjang bulan Ramadan dengan pelbagai program untuk masyarakat.

“Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) turut menyerahkan sumbangan RM60,000 untuk bantuan persekolahan kepada pelajar di Wilayah Kelantan Selatan bagi mengurangkan beban ibu bapa menyedia kelengkapan persekolahan.

“Selain itu, kumpulan anak syarikat KESEDAR juga memperuntukan RM20,000 kepada 100 penerima yang terdiri daripada asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk, hampir 2,500 orang yang terdiri daripada masyarakat setempat, anak yatim dan pelajar tahfiz diraikan di Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Program Iftar yang memasuki tahun kedua penganjurannya ini, bagi mengeratkan silaturrahim serta semangat kebersamaan antara KESEDAR, agensi kerajaan serta komuniti setempat selain memenuhi tanggungjawab sosial korporat KESEDAR,” ujarnya.

Majlis sama akan diadakan di Dungun, Terengganu; Trolak, Perak; Nibong Tebal, Pulau Pinang; Labuan; Pendang, Kedah; Kuala Langat, Selangor dan berakhir di Bagan Datuk, Perak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.