Kerajaan Perpaduan Perlu Diberi Peluang Berkhidmat Hingga Akhir Penggal – Azalina

SHAH ALAM, 16 Mac – Kerajaan Perpaduan perlu diberi peluang untuk berkhidmat hingga ke akhir penggal, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, ia bagi memastikan kerajaan dapat melaksanakan isu-isu membabitkan kepentingan rakyat.

“Kita perlukan sokongan daripada kerajaan yang stabil kepada Perdana Menteri ke-10 supaya boleh ditawarkan kepada rakyat perkhidmatan sampai habis penggal.

“Kalau hendak tukar, tukar sahajalah lepas pilihan raya. Biarlah kami buat kerja. Sikit-sikit hendak tukar takkanlah kahwin isteri cantik, tiba-tiba lepas naik berat hendak cerai,” katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian pada Konvensyen Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual: Jangan Diam, Laporkan Keganasan di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.

Turut hadir pada majlis berkenaan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Azalina dalam pada itu berkata rakyat juga perlu bersikap rasional dengan langkah yang dilakukan kerajaan.

“Jangan ikut hati, biar kami tadbir. Ringgit naik semua mengamuk, kita ini meniaga Ringgit ke?Adakah kita ini beli saham?

“Sebab kita sibuk pasal Ringgit macam hendak gila marah kerajaan tapi orang bagi tahu saya hujung tahun pergi ke luar negara bukan main ramai.

“Bila Kementerian Pengangkutan suruh bayar cukai semua orang dah marah, pergi luar negara masuk Thailand, Indonesia bayar boleh. Malaysia semua tak boleh. Malaysia Truly Asia banyak lagi yang ada di sini,” ujar beliau.

Terdahulu Azalina dan Fadhlina menandatangani nota kerjasama antara Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Kementerian Pendidikan.

Nota tersebut adalah sebagai simbolik kepada kerjasama bagi memberi kesedaran kepentingan membanteras jenayah dan eksploitasi seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut Azalina, pentadbir sekolah atau mana-mana orang awam yang enggan melaporkan perkara itu boleh didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Kalau anda tahu tapi tak lapor, anda akan didakwa di bawah Seksyen 19. Kita akan cari anda jika anda tak lapor… jadi lebih elok anda (pentadbir sekolah) lapor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ditanya sekiranya ada pihak berkuasa akan memburu pentadbir sekolah jika cuba melindungi perbuatan gangguan seksual terhadap kanak-kanak sama ada berlaku di sekolah atau rumah. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.