Agenda Pemerkasaan Bumiputera: Tindakan Perlu Dinilai, Pastikan Keberkesanan Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Tindakan untuk agenda pemerkasaan bumiputera perlulah dinilai dan dipastikan keberkesanannya agar ia benar-benar dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera telah diadakan bagi memperincikan pelan tindakan resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 lalu.

“Telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera bagi memperincikan pelan tindakan semua resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sepuluh Ketua-ketua Kluster yang mempengerusikan siri-siri libat urus hingga menghasilkan resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dua minggu lalu turut hadir dan dilantik secara rasmi sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Pengerusi MARA turut memaklumkan bahawa agensi naungannya dan TERAJU telah diamanahkan untuk memantau pencapaian resolusi serta pelan tindakan.

“MARA dan TERAJU diamanahkan untuk memantau, menyelaras dan mengukur pencapaian segala resolusi dan pelan tindakan yang disyorkan dan akan dibentangkan ke Majlis Ekonomi Bumiputera yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

“…yang penting agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera ini tidak boleh hanya sekadar berkongres dan berkonvensyen tetapi tindakannya mesti dinilai dan dipastikan keberkesanannya agar benar-benar bermanfaat untuk rakyat,” katanya lagi.

Dilaporkan, KEB 2024 yang berlangsung pada 29 Februari sehingga 2 Mac lalu adalah landasan dalam proses pemerkasaan ekonomi Bumiputera, seterusnya bermatlamat merapatkan jurang antara kaum di Malaysia.

Matlamat kongres ini adalah mencadangkan hala tuju dan pendekatan baharu serta penambahbaikan agenda pemerkasaan Bumiputera lebih adil, saksama dan inklusif serta pendekatan baharu untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera lebih bermakna.

KEB 2024 menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan Bumiputera, diperoleh hasil libat urus dikelolakan menerusi 10 kluster merangkumi pelbagai aspek dibentangkan sepanjang tiga hari berlangsung kongres berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.