Tekad Manfaat Pengukuhan Komunikasi Penerangan, Mantapkan Agenda UMNO – Shamellya

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Penerangan Pergerakan Puteri UMNO menzahirkan penghargaan kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana berjaya menganjurkan Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan kepada kedua-dua sayap parti ini minggu lalu.

Ketuanya, Shamellya Norazizi berkata peserta begitu komited dan tekun mengikuti kursus tersebut yang tentunya segala ilmu dipelajari akan dimanfaat untuk memperkasa agenda penerangan UMNO di bahagian masing-masing.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said di atas penganjuran kursus yang sangat baik ini.

“Kursus ini memberikan banyak input kepada Penerangan Pemuda dan Puteri UMNO untuk meneruskan agenda gerak kerja penerangan di bahagian-bahagian.

“Selaku anak muda di dalam UMNO saya berharap agar kursus seperti ini dapat diteruskan kerana ia akan dapat memantapkan sistem penerangan parti dari semasa ke semasa, malah dapat membawa UMNO ke arah generasi yang lebih baik,” katanya kepada UMNO Online.

Selanjutnya, beliau mengakui tugas penerangan bukanlah kerja yang mudah namun tanggungjawab yang diberikan perlulah dipikul dengan sebaiknya agar dapat memberi sumbangan kepada parti. 

“Program ini perlu diteruskan agar dapat memberikan input yang lebih lagi kerana penerangan ini bukannya mudah… nak berikan struktur, naratif, propaganda dan macam-macam lagi dalam menelusuri cabaran melalui media sosial kini.

“Modul yang cukup padat, input yang amat baik dibawa pulang oleh rakan-rakan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO dalam usaha mengukuhkan lagi komunikasi dan sistem penerangan di bahagian malah dengan ini memberikan suntikan agar kita terus kekal, cekal serta tabah… ‘strong’ buat semua kebaikan di bahagian masing-masing,” ujarnya lagi.

Terdahulu, seramai 160 jentera penerangan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara telah berkampung selama tiga hari pada 7- 9 Mac lalu dalam Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO.

Kursus yang dianjurkan oleh Penerangan UMNO Malaysia hasil idea ketuanya, Datuk Seri Azalina Othman Said dilaksana bagi meneruskan siri gerak kerja aktif dalam peringkat secara berasingan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.